utama

Tiket terjun ke dunia muzik barat

Oleh HM Digital

Walaupun Iqram Dinzly dikecam pelbagai pihak kerana dikatakan berkelakuan tidak waras, penyanyi Soo Wincci mengambil pendekatan berbeza apabila menyuarakan sokongan terhadap pelakon itu.

Kata Wincci, segala tindakan yang dilakukan Iqram adalah atas pilihannya sendiri malah jejaka itu sedar ia mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.

“Saya percaya dia tahu apa yang dia buat sehingga dikecam teruk di Internet. Sebenarnya saya sudah lama tidak menghubungi Iqram kerana sibuk dengan pengajian.

“Sebagai kawan rapat, sudah tentu saya sedih melihat dia dihentam dengan kata-kata kurang manis,” katanya.

Kata Wincci, dia kini terikat dengan komitmen baru apabila melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang muzik di Sepanyol.

“Sebelum berangkat ke Sepanyol beberapa bulan lalu, saya mengajak Iqram menyambung pengajian dalam bidang bisnes. Namun, dia beritahu sibuk dan terpaksa menangguhkan rancangan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

“Apa pun yang berlaku saya akan sentiasa membantu dan menyokongnya. Saya harap dia kuat mengharungi segala ujian dan tidak lemah semangat apabila dikritik,” katanya.

Mengulas lanjut keputusannya melanjutkan pengajian di Berklee College of Music, Wincci mengakui sudah lama berhasrat menimba ilmu di sekolah muzik terkemuka itu.

“Ini tiket saya terjun ke dunia muzik Barat. Bukan mudah masuk ke kolej ini. Sudah 10 tahun saya menunggu peluang ini.

“Banyak perkara yang saya pelajari kerana persaingan sangat hebat dan kami perlu belajar lebih 16 jam setiap hari.

“Tambahan pula, semua pensyarah berpengalaman luas dan setiap minggu ke Amerika Syarikat untuk membuat persediaan anugerah besar di sana,” katanya.

Menurut Wincci, dia berharap sepanjang setahun menimba ilmu di sekolah muzik nombor satu itu dia dapat mengembangkan empayar seninya dan menjadi produser muzik berjaya satu hari nanti.

“Saya nak jadi produser muzik dan mahu meraih ilmu sebanyak mungkin. Saya mahu cipta satu muzik baru, seterusnya melebarkan sayap seni ke Amerika Syarikat,” katanya. -Najiy Jefri

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 4:08am
d