utama

Masa buktikan keupayaan

Oleh Norhayati Nordin

Enggan mengenang keperitan hidup pernah dilalui bersama ibu tersayang, penyanyi Wany Hasrita, 25, kini nekad mengejar impian.

Apa yang diimpikan pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini semestinya keselesaan buat ibunya, Norita Jaafar, 46.

Dibesarkan ibu selepas berpisah dengan bapanya banyak mengajar Wany betapa perlu sentiasa bersyukur nikmat yang diberikan Allah SWT.

Bertemu gadis jelita ini pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 anjuran kelab peminatnya, Wanyhasnizers di Shah Alam, Sabtu lalu, Wany kelihatan sangat gembira.

“Saya akan berusaha lebih gigih untuk memastikan karier seni yang masih hijau ini terus bertahan.

“Beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) akan menjadi permulaan terbaik saya untuk tahun baru. Terus terang saya tidak meletakkan harapan tinggi Menahan Rindu menang, cukup jika dapat menyanyikan lagu ini dengan lunak dan menghiburkan penonton,” katanya.

Menurut gadis berkulit cerah ini, dia banyak meluangkan masa berlatih bagi meningkatkan mutu vokalnya.

“Penting untuk saya menyanyikan lagu Menahan Rindu dengan baik di pentas AJL32 nanti bagi membuktikan bakat nyanyian sebenar.

“Ini kerana masih ada yang meragui keupayaan vokal saya menyanyi secara ‘live’.

“Meskipun tidak ambil hati, saya kena lakukan sesuatu untuk menepis kata-kata itu.

“Kini saya giat melakukan latihan vokal sebagai persediaan AJL32,” katanya.

Membesar di ibu kota, Wany sedar bukan mudah mengecapi kejayaan dalam hidup. Apatah lagi dengan statusnya sebagai selebriti.

“Apa saja kepayahan dilalui, ia pengalaman yang mengajar saya erti kehidupan. Keutamaan saya tetap ibu.

“Apabila karier nyanyian semakin stabil, saya sangat bersyukur. Sekurang-kurangnya, jasa ibu selama ini sudah mampu saya balas,” katanya yang berharap dapat mengerjakan umrah bersama ibunya satu hari nanti.

Giat kumpul aset

Menyedari populariti yang diraih datang sekelip mata, Wany tidak mahu leka. Dia kini lebih teliti merancang masa depan.

Tidak lagi memikirkan soal cinta apatah lagi mahu berumah tangga, Wany berkata fokusnya kini adalah mengukuhkan kerjaya seni dan mengumpul aset.

“Saya berazam ada rumah sendiri pada 2018. Saya mahu kehidupan kami dua beranak lebih selesa.

“Kalau boleh saya mahu ibu hidup senang,” katanya.

Wany kini muncul dengan single solo kedua, Rintihan Rindu ciptaan bersama Ibnu dan Gouffran serta mengakui sangat gembira.

“Saya tidak sangka single Rintihan Rindu diterima baik pendengar. Apatah lagi ia dipilih menjadi lagu tema drama Jurnal Suraya di TV3.

“Terima kasih kepada peminat dan pendengar yang sudi menyokong saya,” katanya.

Lirik video rasmi lagu Rintihan Rindu yang dimuat naik di YouTube sudah mencecah lebih 3.7 juta tontonan manakala video muzik pula mencatat lebih 5.3 juta tontonan.

Bagi merancakkan lagi kembara seninya pada 2018, Wany akan muncul dengan lagu duet baru.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 4:12am
d