utama

'Bukan biasa-biasa' [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kajang: Daripada tukang kimpal kepada pereka cipta motosikal buatan sendiri yang bukan calang-calang.

Betapa tidak, Omar Jumiran, 47, yang juga pemilik Eastern Bobber Garage, di Bangi, di sini, semakin menjadi sebutan lantaran kebijaksanaannya menghasilkan motosikal buatan sendiri yang reka bentuk dan kuasanya mantap, inovatif dan memukau mata memandang.

Selain daripada itu, dia yang memenangi pertandingan motosikal binaan khas di negara ini, baru-baru ini terpilih mewakili negara di AMD World Championship of Custom Bike Building di Cologne, Jerman Oktober tahun depan.

Anak jati Klang itu berkata, dia sudah menghasilkan 200 motosikal buatan sendiri sejak 2009.

Katanya, sejak 1995 dia suka mengubah suai motosikal sebelum membuka bengkel kimpalan di Sungai Kantan, Kajang.

“Ketika usia saya 25 tahun, saya dah ubah suai atau bina motosikal sendiri. Namun ketika itu saya sibuk dengan perniagaan membuat jeriji besi selama 18 tahun.

“Bagaimanapun, pada 2009 bekas pekerja saya datang untuk meminta pekerjaan, ketika itu terdetik nak ajak dia bersama bina motosikal pula,” katanya.

Omar berkata, dia menyiapkan motosikal buatan sendiri dalam tempoh singkat iaitu tiga minggu dengan idea spontan.

“Saya buat spontan. Hanya melakar bentuknya dan mula canai besi untuk dijadikan bentuk motosikal itu.

“Pelbagai jenis motosikal saya pernah buat antaranya jenis bobber, chopper, cafe racer dan brat,” kata bapa kepada empat anak itu.

Menurutnya, motosikal yang dihasilkan bermula daripada 150 hingga 900cc.

“Bagaimanapun, motosikal itu hanya untuk pertunjukan,” katanya.

Omar berkata, demi minat dia pernah bercadang berhijrah dan bekerja di luar negara untuk memperoleh pengalaman selain mencabar diri.

“Saya pernah bercadang buka bengkel di Amerika Syarikat untuk menghasilkan motosikal milik saya sendiri. Namun belum rezeki lagi kerana memerlukan modal yang banyak.

“Bagaimanapun, saya pernah bekerja di Dubai selama enam bulan dan ketika berada di sana saya pernah hasilkan tiga motosikal buatan sendiri,” katanya.

Menurut Omar, dia akan mengembangkan lagi minatnya dalam pembikinan motosikal melalui pertandingan yang akan disertai di Jerman pada Oktober tahun hadapan.

“Saya bersyukur kerana orang pertama yang mewakili negara ini ke AMD World Championship of Custom Bike Building dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

“Bagaimanapun, saya memerlukan dana untuk menyiapkan lagi motosikal yang bakal menyertai pertandingan berprestij itu,” katanya.

Omar berkata, dia menghabiskan lebih RM30,000 untuk menghasilkan motosikal yang dinamakan sebagai Bone X yang akan dibawa ke Jerman nanti.

“Saya perlukan wang untuk siapkan lagi ‘finishing’ (kemasan terakhir) sebelum dipamerkan di sana (Jerman),” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 4:51am
d