utama

Balasan kau kacau janda!

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

BURUH lelaki dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit, Perak hari ini, atas tuduhan mahu mengaibkan ibu tunggal dengan menghantar satu cakera video digital (DVD) lucah dan kertas tulisan tangan mempunyai ayat tidak senonoh.

Tertuduh, Megat Amir Asrul Megat Shaharuddin, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Megat Amir didakwa dengan maksud mahu mengaibkan kehormatan seorang ibu tunggal berusia 52 tahun apabila memberikan satu DVD lucah dan kertas tulisan tangan mempunyai ayat tidak senonoh dengan maksud tulisan dan DVD berkenaan mengganggu kesantunan wanita terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di hadapan rumah wanita itu di Kampung Bakong, Mukim Lambor Kiri, Bota pada Jumaat lalu, jam 7.15 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Inspektor Hamidah Hamzah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Harbans Kaur.

Mohd Fitri kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkapan iaitu pada Sabtu lalu.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 11:01am
d