utama

Ajal di hujung tanduk kerbau

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

PENGAWAL keselamatan maut ditanduk dan dipijak kerbau peliharaannya yang tiba-tiba mengamuk di Kampung Paya Tambang, Temerloh, 6.45 petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa Bazarudin Yeop Yahaya, 59, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di bahagian dada dan perut.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan dua rakannya menaikkan kerbau berkenaan ke atas lori untuk dijual kepada pembeli.

"Ketika menaikkan kerbau itu, tali yang mengikatnya longgar dan secara tiba-tiba haiwan berkenaan mengamuk lalu menanduk serta memijak badan mangsa.

"Dia yang terbaring dalam belukar selepas ditanduk meminta dua rakan serta pembeli kerbau itu menaikkan haiwan berkenaan ke atas lori.

"Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi, di sini.

Zundin berkata, mangsa dibawa keluarganya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.

"Sementara itu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan teruk akibat luka tandukan kerbau di bahagian dada dan abdomen mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut berikutan tiada unsur jenayah dikesan," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 12:48pm
d