utama

'Tiada jurang antara kami'

Oleh HM Digital

Pencapaian diraih penyanyi Khai Bahar sepanjang 2017 ini bukti kerja keras dan sokongan peminat terhadap dirinya.

Malah, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, mengakui dia terlalu disayangi peminat sehingga mampu berada pada kedudukan sekarang.

“Kalau mereka tak sayang, tak mungkin saya berada pada tahap sekarang. Apa yang saya dapat dan lalui ini adalah rezeki dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada mereka. Sepanjang tahun ini, banyak kenangan dicipta bersama mereka.

“Sejujurnya, saya tidak tahu macam mana mahu membalas jasa baik mereka. Cuma, apa saya boleh janjikan adalah sentiasa memberikan yang terbaik dalam kerjaya. Disebabkan itu, dalam apa juga majlis dihadiri kalau boleh saya nak peminat (Khai Bahar Empire) ada bersama,” katanya.

Khai yang popular dengan lagu Bayang juga berasa bertuah apabila sentiasa mendapat nasihat daripada peminat yang jauh lebih berusia.

Bagi Khai, dia seboleh-bolehnya tidak mahu wujud jurang antara dirinya dengan peminat sebaliknya menganggap mereka seperti keluarga sendiri.

“Tidak dinafikan tahun ini ada beberapa gosip timbul membabitkan hal peribadi. Namun, peminat sedikit pun tidak berganjak. Malah, mereka tampil ke depan dan memberikan kata-kata semangat kepada saya.

“Mereka selalu menasihati saya agar terus kuat dan tidak membiarkan isu berkenaan mengganggu prestasi kerja. Mereka inginkan saya sentiasa jadi orang yang positif dan maju ke depan agar terus berjaya.

“Dalam erti lain, mereka hanya inginkan yang terbaik daripada saya. Jadi, saya jadikan ia sebagai pembakar semangat. Apa pun yang berlaku, saya anggap satu cabaran dan dugaan. Kalau lemah, saya pasti jatuh,” katanya.

Terdahulu, Khai ditemui pada majlis Greatest Love of Khai Bahar di Laman Kayangan, Shah Alam.

Acara membabitkan 500 peminat terdiri daripada KBE itu adalah aktiviti yang dirancang Khai selepas dia memenangi Anugerah Bintang Popular 3.0 lalu.

Menurut Khai, selain sokongan padu peminat, kejayaan dicapai juga adalah berkat restu ibu bapanya.

Malah, Khai yang berasal dari kampung kini mampu menempa nama bukan saja dalam negara tetapi juga di luar negara seperti Hong Kong, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Tak ada alasan anak kampung tidak boleh berjaya. Apa yang penting kita kena tahu apa yang nak dibuat. Saya misalnya, dari dahulu mahu jadi penyanyi meski arkitek adalah cita-cita asal.

“Selepas menyedari muzik adalah jiwa sebenar, saya nekad nak jadi penyanyi. Ibu bapa merestui minat saya. Disebabkan itu juga saya boleh sampai tahap sekarang,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya, Khai dalam proses menerbitkan album mini yang memuatkan enam lagu.

“Insya-Allah, album mini ini bakal dilancarkan tahun hadapan. Sebanyak tiga lagu baru dimuatkan dalam album ini termasuk tiga single sedia ada iaitu Bayang, Dari Jauh Saja dan Luluh. Saya mahu jadikan album ini sebagai hadiah kepada semua peminat.

“Alhamdulillah, saya baru saja memperbaharui kontrak dengan syarikat rakaman untuk tempoh tiga tahun lagi. Saya selesa di bawah pengurusan mereka berdasarkan perancangan yang diatur. Malah, saya bersyukur dengan apa yang ada sekarang,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 4:29am
d