utama

'Saya tak menipu' [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“SAYA dan keluarga akan kumpul segala bukti fitnah termasuk ugutan bunuh untuk tindakan undang-undang kepada mereka sekembalinya ke Malaysia dalam waktu terdekat ini," kata Adib Azizan Hussian.

Lelaki berusia 27 tahun itu memberi reaksi demikian ketika dihubungi wartawan Harian Metro selepas kisahnya sebagai pemetik kubis di Korea Selatan dengan pendapatan empat juta won bersamaan RM11,000 sebulan, tular di media sosial sehingga ada yang mendakwa Adib menipu.

Menurutnya, dia tidak menyangka niatnya berkongsi kisah terbabit dikaitkan dengan insiden salah faham yang pernah berlaku dengan beberapa rakyat Malaysia ketika dia bekerja sebagai pemetik buah di Australia kira-kira dua tahun lalu.

"Saya tidak pernah menipu sesiapa baik ketika di Australia mahupun di Korea Selatan, sebaliknya apa yang berlaku adalah salah faham yang dimanipulasi menjadi isu lebih besar sehinggakan saya, keluarga dan isteri mengalami tekanan perasaan yang teruk.

"Tak mengapa, sekarang ini saya akan kumpulkan segala bukti dan akan ambil tindakan undang-undang apabila pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Malah saya juga ada saksi di Korea yang tahu keadaan sebenar yang berlaku.

"Antara individu yang menaburkan fitnah terhadap saya adalah mereka yang pernah baik dengan saya, yang pernah saya bantu dan saya tidak sangka perkara ini boleh menimpa saya," katanya.

Menurut Adib, ada di antara mereka mengugut untuk mencederakannya, malah turut mengaitkan isterinya dan dua anaknya yang berada di Perak dalam kemelut yang dihadapi.

"Paling menyedihkan, ada yang menuduh isteri saya bukan-bukan sehingga dia mengalami tekanan perasaan selepas melahirkan anak kedua kami tiga bulan lalu.

"Saya hanya berpesan kepada isteri supaya bersabar dan memintanya memberikan saya masa tiga tahun lagi sehingga umur saya 30 tahun bagi mencari rezeki di bumi orang ini.

"Saya mempunyai perancangan sendiri menggunakan wang hasil titik peluh yang dikumpul di Korea untuk hidup di Malaysia selepas itu," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 7:01pm
d