utama

14 pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir musnah terbakar [UPDATE]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

EMPAT belas unit pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu musnah dalam kebakaran malam ini.

Dalam kejadian jam 7.45 malam membabitkan pondok yang menempatkan 24 pelajar lelaki termasuk seorang warga emas itu bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Penguasa Kanan Bomba II Hussin Ab Rahman berkata, sebaik menerima panggilan jam 7.50 malam, empat jentera membabitkan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Tunjong, Kota Darul Naim dan Ketereh ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian 60 peratus pondok terbabit sudah hangus terbakar.

"Operasi pemadaman terus dijalankan dan api berjaya dikawal jam 8.27 malam. Kini operasi sedang dijalankan.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, kakitangan madrasah itu Muhammad Hanif Mohd Razali, 28, berkata ketika kejadian dia sedang mengetuai bacaan Yasin bersama 186 pelajar di tingkat satu masjid yang terletak 10 meter dari lokasi kejadian.

"Secara tiba-tiba salah seorang pelajar menjerit selepas ternampak api di pondok sebelum mereka bergegas turun ke lokasi kejadian. Saya sempat melaungkan azan sebaik melihat api semakin marak.

"Beberapa pelajar dilihat sempat menyelamatkan kitab dan mengeluarkan tong gas," katanya.

Menurutnya, ini adalah kejadian pertama sejak madrasah itu beroperasi 1980.

Saksi utama kejadian Ahmad Faizzuddin Zulkifli, 18, ketika sedang membaca Yasin, dia terkejut selepas terlihat api di sebuah pondok.

"Saya menjerit api, sebelum turun ke bersama rakan lain.

"Kami cuba padamkan api dengan menjirus air namun api merebak cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 10:56pm
d