utama

Azam kurangkan berat badan

Oleh HM Digital

Tubuhnya yang berisi tidak pernah menjadi halangan kepada Dottie, 29, untuk meneruskan kerjaya lakonan, malah tiada langsung diskriminasi terhadapnya.

Dia juga tidak pernah berasa rendah diri kerana penggiat seni tanah air dan peminat kini lebih bersikap terbuka.

Bagi Dottie, bakat lakonan lebih penting berbanding fizikalnya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Syuhaida Ab Razak ini, ada yang mahu dia mengekalkan tubuhnya sebegitu, namun demi kesihatan dia bercadang mengurangkan berat badan.

“Dengan pelbagai genre drama yang diterbitkan, lebih banyak watak ‘tercipta’ dan ia bukan lagi tertumpu kepada pelakon bertubuh langsing saja. Lagipun, semua orang tahu sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan menerusi drama Dottie tujuh tahun lalu sehingga nama judulnya terus melekat pada saya, saya memang bertubuh gempal.

“Secara tidak langsung dengan peluang lakonan yang terbuka luas untuk saya turut memberi inspirasi kepada mereka bertubuh gempal untuk menceburi dunia lakonan,” katanya.

Namun, tahun depan Dottie merancang mengurangkan beratnya atas faktor kesihatan.

“Sebelum berkahwin setahun lalu berat saya sekitar 86 kilogram tetapi sekarang bertambah empat kilogram. Alhamdulillah, saya sihat tetapi lebih baik ambil langkah berjaga-jaga.

“Tahun depan juga saya sudah bersedia menerima kedatangan ahli keluarga baru dalam rumah tangga jadi lebih baik saya menjaga kesihatan dari sekarang.

“Tiada desakan daripada suami atau kedua-dua keluarga kami dalam soal anak tetapi pasangan suami isteri mana yang tidak mahukan cahaya mata?,” katanya.

Dottie mendirikan rumah tangga dengan Haffis Abu Hassan, 28, pada 25 Disember tahun lalu dan mereka kini tinggal bersama keluarga Haffis di Dengkil, Selangor.

“Syukur keluarga mentua memahami kerjaya saya sebagai pelakon yang kerja tidak tentu masa. Suami juga mengizinkan namun dia tidak begitu suka menonjolkan diri.

“Saya juga selesa begitu kerana kami tidak mencampuradukkan urusan rumah tangga dengan kerjaya. Apa yang penting kami saling memahami dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sekian lama nama Dottie melekat padanya, kini selepas dia berlakon dalam drama Titian Cinta menjadi rakan karib kepada watak utama, Aisy (lakonan Farah Nabilah) yang bernama Sakeena, sekarang ada peminat yang memanggil dengan nama itu pula.

“Nampaknya kekuatan watak Sakeena hampir mengulangi kejayaan saya membawa watak Dottie,” katanya.

Sepanjang bulan ini, belum ada tawaran baru yang datang, jadi dia menghabiskan masanya berehat dan berharap peluang berlakon kembali rancak menjelang 2018.

Jika dalam drama dia boleh melakukan watak komedi dengan baik, Dottie mengakui kelemahannya tidak boleh beraksi secara spontan di pentas kerana dia ‘takut’ dan gementar membuat persembahan secara langsung.

Dalam pada itu Dottie juga berhasrat mencuba menjadi pengacara majlis dan penyanyi.

“Saya nak cuba rakam satu single dulu, lihat macam mana sambutan pendengar,” katanya. -Nor Akmar Samudin

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 3:08am
d