utama

Maklumat didik pendengar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Nama penyampai radio, Lin Ariffin mungkin masih baru dalam industri hiburan tempatan.

Namun, penyampai stesen radio baru, Zayan ini bukanlah baru setahun jagung pengalamannya.

Bermula sebagai pembaca berita Buletin Pagi di TV3, Lin atau nama sebenarnya Siti Amalina Ariffin mula mengukir nama dalam bidang pengacaraan menerusi program Bismillah Ad-Dhuha.

Selesa mengorak langkah dalam program berbentuk kerohanian dan positif, Lin yang juga peka mengenai fesyen ini punya beberapa matlamat yang ingin digapainya.

“Mungkin, apabila seseorang personaliti mula menjengah ke dalam bidang yang menjurus ke arah keagamaan, ada sesetengah pihak akan meletakkan label personaliti itu bersifat Islamik.

“Bagi saya, ada beberapa faedah buat diri saya secara peribadi. Bak kata pepatah, ‘sambil menyelam minum air’. Selain menghibur, secara tak langsung saya kongsi dan sampaikan mesej positif kepada pendengar,” katanya.

Menurut penyampai radio dan pengacara berusia 30 tahun ini, tempoh tiga bulan bersiaran di stesen radio baru itu memberi ruang buatnya untuk berkongsi minat dan pada masa sama patuh syariah.

“Di Zayan, saya mengendalikan slot pagi yang dikenali sebagai ZOTD bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

“Dalam slot ini, antara perkara menarik saya kupas ialah mengenai gaya hidup yang merangkumi pelancongan, tempat makan, fesyen dan apa yang menjadi tular.

“Tapi, yang tular pun tentulah saya akan lihat dari sudut positif kerana kita tak mahu mendidik pendengar dengan perkara negatif,” katanya.

Selain menyajikan informasi berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sendiri, Lin juga banyak mencari informasi menarik di Internet di samping mendapatkan pandangan artis tempatan.

“Seperti yang semua sedia maklum, artis akan membantu menarik perhatian pendengar. Jadi, ada artis yang dijemput untuk berkongsi pengetahuan dengan pendengar.

“Antara artis yang pernah menjadi tetamu di Zayan adalah Nabila Razali, Cassidy, Anis Al Idrus dan akan datang, Wany Hasrita,” katanya.

Vivy Yusof & Neelofa Jadi Idola

Menyimpan minat dalam bidang fesyen dan perniagaan, Lin menamakan Vivy Yusof dan Neelofa sebagai idolanya.

“Mereka berjaya dalam bidang yang diceburi. Selain itu, kedua-duanya mempunyai pengetahuan dalam bidang fesyen yang membuatkan mereka sentiasa tampil bergaya,” katanya.

Tidak hanya dua selebriti itu, Lin juga meletakkan Fara Fauzana sebagai penanda aras dalam melakukan kerja amal.

“Saya menyimpan impian mendapat peluang seperti Fara Fauzana yang diberi kesempatan melakukan misi kemanusiaan.

“Selain bekerja, saya juga ingin beramal dan memberikan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 3:18am
d