utama

'Saya mahu kembali sihat'

Oleh Faliq Lajim

Klang: “Saya harap boleh kembali sihat seperti sebelum ini, sudah lama saya tak pergi sekolah dan berjumpa guru serta rakan,” kata Mohamad Arifuddin Mohd Nor Hafis, 9, dengan nada lemah.

Mohamad Arifuddin yang menghidap barah tisu sejak Januari lalu hanya terbaring.

Menurutnya, walaupun semakin lemah namun dia sedaya upaya menguatkan diri untuk kembali sihat seperti sedia kala.

“Saya nak sihat dan mahu menjadi pemain bola. Sebelum ini saya berjumpa Mohd Hafiz Kamal (pemain bola sepak pasukan Perak) dan saya sangat teruja,” katanya.

Harian Metro pada laporan muka depan 12 Julai lalu memaparkan penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel barah merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman.

Penyakit dihidapi menyebabkan mata kirinya terkeluar manakala mata kanan pula hampir buta.

Hasrat kanak-kanak itu menemui Mohd Hafiz juga direalisasikan pada 16 Julai lalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Sementara itu, bapanya, Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, berkata, keadaan anaknya semakin lemah walaupun sudah lengkap rawatan di hospital.

“Saya mencuba rawatan tradisional untuk anak selain rawatan Islam sebagai ikhtiar selepas menjalani rawatan moden.

“Walaupun keadaannya semakin lemah namun saya tidak akan berputus asa. Sejauh mana pun saya akan pergi bagi merawat penyakit anak,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Nor, keadaan Mohamad Arifuddin menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori berikutan anaknya memerlukan pengawasan 24 jam.

“Biarlah saya berhenti kerja dulu. Saya nak habiskan waktu dengan dia dan menjaganya dulu.

“Memang saya reda dengan penyakitnya namun itu tidak semestinya saya perlu berputus asa walaupun doktor sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Mohd Nor, dia mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bayaran rumah sewa serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan RM250 sebulan.

“Kami memerlukan RM1,000 untuk perbelanjaan rawatan anak. Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi di talian 011-23112521 atau melalui akaun Maybank 162843066209 atau CIMB 7063363584 atas nama Mohd Nor Hafis,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 6:09am
d