utama

Nawaitu 'terhenti' di LPT2

Oleh Rosli Ilham

LELAKI maut selepas motosikalnya terbabas dan merempuh penghadang jalan di KM267.5, LPT2, dekat R&R Perasing, Chukai, Kemaman.

Mohamad Nashahrudin Mat Yusof, 22, dari Bandar Baru Cheneh, meninggal dunia di tempat kejadian, pada 6.30 petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya, Mohamad Shukri Roslan, 22, dalam perjalanan dari rumah ke R&R untuk minum.

Katanya, mereka menunggang motosikal berasingan.

Mohamad Shukri berkata, dia yang berada di depan terkejut apabila mendapati motosikal rakannya terbalik dan terhumban ke dalam longkang ketika dia melihat ke belakang.

Katanya, dia kemudiannya segera mendapatkan mangsa namun rakannya yang parah di dada sudah meninggal dunia.

“Saya kemudian menghubungi seorang rakan dan meminta dia melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Arwah seorang rakan yang baik dan kami sering minum di R&R itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya atau melulu,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 11:02am
d