utama

Pembantu katering, masih bujang, dapat RM1 juta

Oleh Suraya Roslan

Hanya bermodalkan RM15,000, seorang pembantu katering menjadi jutawan segera apabila Sijil Simpanan Premium (SSP) miliknya terpilih sebagai juara Cabutan Istimewa bagi November.

Menerusi kempen Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu SSP '12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan', Hoo Mei Yoong, 43, dari Perak memenangi RM1 juta selepas membeli SSP yang ditawarkan bank berkenaan sejak 14 tahun lalu dengan simpanan RM15,000.

Dia yang masih bujang berkata, sebaik dihubungi pihak bank memaklumkan dia pemenang ke-11 dan menerima durian runtuh RM1 juta, dia agak sukar dan keberatan untuk percaya.

“Namun, saya kemudian pergi ke BSN cawangan Ipoh, Perak dan dimaklumkan nama saya memenangi Cabutan Istimewa bagi November,” katanya selepas pengumuman pemenang cabutan SSP bagi Disember di Wisma BSN, Kuala Lumpur hari ini.

Hoo berkata, walaupun sudah bergelar jutawan dia tidak akan berhenti kerja sebagai pembantu katering di Ipoh dan akan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Tiada apa yang berubah, saya tetap masih orang yang sama dan sehingga kini tiada perancangan lagi untuk melakukan apa dengan wang RM1 juta ini,” katanya.

Sementara itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Perak, S Vuvarajan, 56, dipilih sebagai pemenang Cabutan Bulanan dan membawa pulang kereta BMW 318i dengan simpanan di SSP RM5,000.

Menurutnya, dia tidak menyangka simpanan selama 20 tahun itu memberi pulangan besar buat dirinya yang dapat memandu kereta mewah.

“Ketika ini saya menggunakan kereta Proton Persona dan tidak bercadang menjual kereta dimenangi ini,” kata bapa dua anak itu.

Pada majlis itu, BSN turut mengumumkan jutawan Disember dimenangi Rozaimah Ahmad dari Selangor.

Pemenang bulanan Disember yang membawa pulang kereta Mercedes GLC pula diraih R Mageswary dari Perak manakala Cabutan Remaja 'Kategori Khas' dengan ganjaran RM10,000 pula dimenangi Muhammad Aiman Iskandar Syah Hairee dari Selangor.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 3:36pm
d