utama

Besi skylift patah, 1 kritikal, 1 cedera

Oleh Rosli Ilham

PENEBANG pokok kritikal manakala pembantunya cedera selepas terjatuh ketika melakukan kerja menebang dahan pokok di Kilometer 68.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Simpang Tanjung Jara, Dungun hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, Che Wan Rani Che Wan Deraman, 57, dan pembantunya, Che Wan Mohd Asri Che Wan Mustafa, 39, dikejarkan ke Hospital Dungun menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketika kejadian, dua mangsa yang berada di dalam gondola skylift sedang menebang dahan pokok pada ketinggian kira-kira 12 meter

Bagaimanapun, ketika asyik menebang, besi pengangkat skylift itu tiba-tiba patah dan tumbang menyebabkan dua mangsa tercampak ke atas jalan.

Kejadian itu menyebabkan Che Wan Rani parah di muka dan kepala manakala Che Wan Mohd Asri pula cedera di kepala.

Beberapa pekerja yang melihat kejadian itu bergegas membantu dua mangsa sebelum menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Dungun Kapten (PA) Ramlan Ros Wahib berkata, tiga anggota APM dengan sebuah ambulans bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 4:04pm
d