utama

Rancak susun strategi

Oleh Norhayati Nordin

Kanvas seni 2017 pelakon dan pengacara Dayana Roza tercalar berikutan terpalit kontroversi.

Namun begitu, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat gadis ini dalam merencana masa depan kariernya.

Dayana atau Nur Dayana Kamsun Baharin ketika ditemui pada sesi fotografi diatur Selebriti Metro Ahad berkata, apa yang berlaku biarlah berlalu.

“Saya tidak mahu lagi mengenang apa yang sudah terjadi. Sempena menyambut tahun baru, ada sasaran lebih penting mahu saya kejar.

“Saya mahu gapai impian berjaya dalam karier seni dan perniagaan. Selain berlakon, saya minat berniaga,” katanya.

Menurut Dayana lagi, dia kini rancak menyusun perancangan dan strategi bagi memastikan perniagaan yang diusahakan berjaya.

“Apa perniagaan itu, saya tidak boleh uar-uarkan lagi kerana belum tahu menjadi atau sebaliknya.

“Pengalaman pernah gagal ketika mengusahakan produk pewangi rambut pada tahun lalu buat saya lebih berhati-hati. Insya-Allah sampai masanya saya akan berkongsi dengan rakan media dan peminat,” katanya.

Menyedari tidak mudah meraih kejayaan dalam bidan yang diceburi itu, Dayana berkata, dia bersedia berdepan dengan apa juga kemungkinan.

“Banyak saya belajar daripada kegagalan lalu. Antaranya, dulu mungkin saya terlalu percayakan rakan kongsi. Kini, saya selesa bergerak sendiri dan akan melipat gandakan usaha.

“Untung rugi perkara biasa dalam dunia perniagaan dan saya sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Tambah Dayana, paling utama adalah dia perlu menambah ilmu dan memahami selok-belok dunia perniagaan.

“Saya akan pastikan tidak terburu-buru. Kena rancang dan kaji semua aspek. Mudah-mudahan kali ini berjaya,” katanya.

Dayana juga menzahirkan rasa syukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus meski pun namanya terpalit cerita kurang menyenangkan.

“Saya sentiasa percaya dengan rezeki dan berterima kasih kepada syarikat produksi serta stesen TV yang terbuka memberi peluang.

“Terbaru, saya bakal muncul dengan drama 50 episod, Seputih Cinta Rangbulan dan Isteri Untuk Diiktiraf,” katanya.

Mengulas mengenai karakter, Dayana berkata, dia tidak pernah memilih. Apa saja yang ditawarkan, tidak kira protagonis mahupun antagonis pasti diterima dengan hati terbuka.

“Dalam Seputih Cinta Rangbulan, saya memegang watak heroin yang banyak bermain dengan emosi.

“Berbeza pula drama Isteri Untuk Diiktiraf di mana saya melakonkan watak antagonis sebagai Tengku Bella Donna.

“Saya berpegang dengan prinsip rezeki jangan ditolak. Karakter baik atau sebaliknya, masing-masing ada kelebihan dan mampu melonjakkan karier saya,” katanya.

Walaupun puas dengan peluang yang diberikan, Dayana tidak pernah berhenti belajar dan memperbaiki mutu lakonannya.

“Meskipun sudah tujuh tahun bergelar pelakon, lakonan saya belum berada di tahap yang baik. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

Harap diberi lebih peluang

Berpeluang mengacarakan program Top 5 Makan Siaran Hypp TV, cinta Dayana terhadap dunia pengacaraan semakin mendalam.

Pengalaman yang diraih sepanjang mengendalikan program terbabit amat menyeronokkan, justeru itu, Dayana berharap akan diberi lebih peluang selepas ini.

“Mudah-mudahan selepas ini saya dapat mengacarakan program membabitkan aktiviti lasak atau sukan ekstrem.

“Ini kerana, saya gemar mencabar keupayaan diri. Apatah lagi, aktiviti lasak menuntut kekuatan mental dan fizikal,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dia anak emas penerbit terkenal Sheila Rusly, pelakon berkulit cerah ini menyifatkan ia sebagai penghargaan.

“Saya anak tunggal dalam keluarga. Jadi, apabila menjadi sebahagian daripada keluarga mama Sheila, saya gembira.

“Dapatlah juga saya merasa ada adik-beradik dan paling utama hubungan kami rapat.

“Apapun, ia bukan batu loncatan untuk memudahkan saya mendapatkan tawaran kerja daripada mama Sheila.

“Saya hanya akan bekerjasama dengan mama Sheila dalam projek drama tertentu mengikut kesesuaian watak,” katanya.

Menurut Dayana lagi, sepanjang bekerja dengan Sheila dan Jinggo, dia belajar betapa pentingnya menjaga karakter dalam lakonan.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 3:25am
d