utama

Elly puas buru impian

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun bermula di belakang tabir, ia sama sekali tidak membuatkan pengacara dan penerbit, Elly Arifin, 28, gentar mengatur langkah. Tahu apa yang diinginkan dalam kerjaya penyiaran diceburi, Elly atau nama sebenarnyaNurul Elyana Arifin, sabar mengintai peluang.

Puas dengan perkembangan kerjayanya kini, Elly berkata, semuanya tidak datang menggolek tanpa kegigihannya berusaha.

“Saya tolak ke tepi apa saja cakap-cakap negatif orang terhadap saya pada awal kerjaya sebagai wartawan penyiaran dulu. Lebih-lebih lagi, saya pernah terpalit cerita sensasi dengan seorang selebriti baru ketika itu yang dianggap ujian tidak diduga.

“Saya memang tidak pernah menyangka isu yang berlaku itu menarik perhatian banyak pihak,” katanya.

Sudah mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu bersama anggota kumpulan pelawak Masin, Jiggy, 28, kini Elly mengecap bahagia.

“Syukur, perjalanan karier saya nampaknya makin stabil sebagai pengacara, penyampai radio hujung minggu bersama Era FM dan penerbit program TV.

“Malah, saya juga tidak ketinggalan pernah mendapat peluang membintangi drama Semusim Rindu arahan Ejump Zahir. Dalam drama 40 episod itu, buat kali pertama saya mengetengahkan bakat dalam lakonan diberikan watak antagonis.

“Pada mulanya, saya bimbang juga untuk menerima tawaran berlakon itu tetapi, sampai bila tidak berani mencuba,” katanya.

Menurut Elly, ia pengalaman baru baginya sebagai pelakon, namun dia gembira melakonkan watak jahat.

“Berlakon watak hitam ini pada saya mudah kerana ia watak yang saya perlu bersedia untuk terima kecaman penonton. Secara tidak langsung, apabila watak yang dilakonkan itu dikecam hebat, ia bermakna saya sudah berjaya melakukannya.

“Apapun, saya sentiasa bersikap positif dan enggan memikirkan tekanan. Bagi saya, inilah dugaan mencari rezeki,” katanya.

Elly yang mesra dan ramah berbicara berkata, dia juga sangat bersyukur dipertemukan jodoh dengan Jiggy.

Katanya, Jiggy sangat memahami dan tidak pernah jemu memberi sokongan kepadanya untuk mengejar impian.

Sentiasa bersikap terbuka menerima apa saja tawaran, Elly berkata, setakat ini, dia belum ada program TV bersama suami.

“Kami selesa mengatur urusan kerjaya masing-masing. Bagi kami, itu lebih profesional. Ini kerana kami enggan dilabel dengan pelbagai dakwaan kurang elok kerana banyak hati perlu dijaga terutama ibu bapa dan keluarga kami.

“Bagi kami, ketenteraman keluarga paling utama perlu diambil kira,” katanya.

Mengulas perkembangan kerjaya pengacaraannya, Elly baru-baru ini muncul mengacarakan program Pesta Muda Mudi terbitan Astro, yang membicarakan perkembangan industri muzik tanah air.

Elly juga berganding dengan Hafiz Suip mengacarakan program Unplugged.

“Bagi saya, minat sangat penting untuk melakukan sesuatu kerja. Setakat ini saya gembira dengan cabaran kerja dilalui,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 3:25am
d