utama

Bunuh, sorok mayat anak

Oleh Daily Mail

Ohio (Amerika Syarikat): Seorang ibu dipenjara 22 tahun selepas mengaku salah menyebabkan kematian anak perempuannya berusia lima tahun sebelum menyorok mayat mangsa di restoran miliknya dan suami.

Mingming Chen, 30, pendatang tanpa izin dari China, pada awalnya didakwa atas tuduhan bunuh, tetapi bersetuju mengaku salah selepas tuduhan terhadapnya diringankan.

Dia turut mengaku atas tuduhan mengganggu bahan bukti, merosakkan mayat, membahayakan kanak-kanak serta mengganggu proses keadilan.

Anaknya, Ashley Zhao, didapati mati dan disorok dalam restoran keluarga itu, Ang’s Asian Cuisine, di Canton, Ohio, selepas dilaporkan hilang pada Januari lalu.

Laporan polis mengenai kehilangannya mencetuskan usaha pencarian besar-besaran dengan pihak berkuasa membuat pemeriksaan menyeluruh.

Bagaimanapun, mayatnya ditemui sehari kemudian di dalam restoran berkenaan, berhampiran peti sejuk beku premis itu.

Ibu bapanya terus ditahan selepas itu.

Pihak berkuasa mendakwa Mingming memukul mangsa berulang kali menyebabkan kecederaan otak sebelum suaminya Liang Zhao berusaha menyedarkan mangsa. Namun apabila Ashley masih tidak sedarkan diri, suaminya membantunya menyembunyikan mayat itu.

Pendakwa Daerah, John Ferrero berkata, Mingming tidak berniat membunuh anaknya, sebaliknya kejadian itu satu tragedi akibat kemarahan melampau si ibu yang sukar merapatkan diri dengan anak perempuannya sendiri.

Peguam bela Richard Drucker berkata, anak guamnya rasa bersalah dan mengaku bertanggungjawab atas perbuatannya.

“Jika perbicaraan diteruskan, mahkamah pasti diberikan bukti bahawa Zhao sebenarnya sering bertindak ganas terhadap Ashley serta Mingming seterusnya bererti dia secara tidak langsung juga bertanggungjawab atas kematian mangsa,” katanya.

Zhao dipenjara 12 tahun selepas mengaku salah awal tahun ini atas tuduhan termasuk mengganggu proses keadilan serta merosakkan mayat, mengganggu bahan bukti dan membahayakan kanak-kanak selain bersetuju memberi keterangan terhadap isterinya untuk tuduhan bunuh terhadapnya digugurkan.

Mingming memohon suaka di Amerika pada 2009 mendakwa ditindas kerajaan China sebagai pengikut Falun Gong, tetapi ditolak dua kali. Dia berkemungkinan diusir pulang ke negara itu sebaik menamatkan hukumannya.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 4:03am
d