utama

Dia nak letup pondok kawalan AKSEM

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

POLIS Kelantan menahan seorang lelaki tempatan yang mendakwa mahu meletupkan pondok kawalan sekatan jalan raya (SJR) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, turut ditemui bersama suspek berusia 30 tahun itu, lima plastik berisi bijian, satu plastik serbuk kuning, gunting, pisau, wayar tembaga, bateri, pemutar skru, pasport dan telefon.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebelum itu suspek yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika ditahan suspek bertindak agresif namun berjaya ditahan anggota AKSEM.

"Pemeriksaan lanjut di beg sandang suspek menemui lima plastik berisi bijian, satu plastik serbuk kuning, gunting, pisau, wayar tembaga, bateri, pemutar skru, pasport dan telefon.

"Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil soal siasat, suspek mendakwa mahu meletupkan pondok kawalan SJR AKSEM dan Kompleks ICQS Rantau Panjang dan motifnya masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Selangor mempunyai satu rekod lampau berkait senjata berbahaya pada 2014 lalu.

"Suspek juga positif methamphetamine dan permohonan reman dibuat hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut,

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 " katanya ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Tumpat di Dewan Temenggung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat hari ini.

Terdahulu, Hasanuddin menyaksikan serah terima tugas KPD Tumpat antara pemangku KPD Tumpat Superintendan Mohamed Zulmazi Daud KPD kepada KPD baru, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Sebelum ini Ab Rashid bertugas sebagai Timbalan KPD Kuala Lipis, Pahang.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 11:47am
d