utama

Harapan bapa pengantin

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

KELUARGA pengantin berharap ada pihak yang membantu membaiki jalan di kawasan rumah mereka di Kampung Prosperous, Sibuga, Sandakan, yang runtuh pada 28 Disember lalu.

Stephen Soong, 63, ayah kepada pengantin perempuan yang melangsungkan perkahwinan pada hari berkenaan berkata, sehingga hari ini jalan berkenaan belum dibaiki.

"Ada pihak sudah datang memeriksa namun ia masih belum dibaiki lagi sehingga kini.

"Kami berharap jalan itu dapat dibaiki kerana ia adalah satu-satunya laluan untuk ke rumah saya dan beberapa penduduk lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian berkenaan, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian itu, dia berada di rumah dan mereka sebenarnya sedang bersiap-siap untuk ke gereja bagi melangsungkan perkahwinan anak perempuannya.

"Empat kereta yang rosak akibat terjatuh ke tebing cerun adalah kereta rombongan pengantin lelaki yang ditugaskan pihak lelaki menjemput anak perempuan ke gereja.

"Antaranya, kereta bapa saudara pengantin lelaki dan juga jurusolek anak saya. Saya sempat mempelawa mereka masuk ke rumah namun mereka memberitahu hanya menunggu di kereta sahaja.

"Sudah menjadi adat masyarakat kami, pengantin perempuan akan diambil di rumah oleh rombongan pihak lelaki untuk dibawa ke gereja ketika hari pernikahan.

"Kira-kira lima minit mereka parkir, tiba-tiba jalan berkenaan runtuh dan nasib baik mereka semuanya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkahwinan diteruskan seperti dijadualkan dan semuanya sudah selesai.

Pada 28 Disember lalu, rombongan pengantin yang melalui jalan konkrit di Kampung Prosperous, Sibuga tiba-tiba runtuh menyebabkan empat kereta jatuh ke tebing cerun.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, semua kereta berkenaan menggelungsur jatuh dan terbalik bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan

Berita berkaitan

Kejutan `khas' rombongan pengantin

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 6:58pm
d