utama

Palace sekat 'pesta' Citizens

Oleh Agensi

London: Penjaga gol dari Brazil, Ederson menyelamatkan sepakan penalti pada masa kecederaan bagi membantu Manchester City seri 0-0 di Crystal Palace malam tadi, keputusan yang menamatkan rentetan 18 kemenangan berturut-turut pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Pemain tengah Palace, Luka Milivojevic berpeluang mencetus kekalahan sulung City pada kempen kali ini selepas Raheem Sterling mengasari Wilfried Zaha namun sepakannya ke arah tengah gol ditampan dengan kaki oleh Ederson.

Ederson menyelamatkan rembatan Patrick van Aanholt pada babak pertama sebelum pertahanan Eagles, Scott Dann dan penyerang City, Gabriel Jesus terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Pada babak kedua, percubaan bahaya Leroy Sane diselamatkan penjaga gol Palace, Wayne Hennessey manakala Andros Townsend merembat liar sekalipun mendapat peluang terbaik.

City, yang meraih 18 kemenangan berturut-turut dalam liga, kini 14 mata di puncak carta di depan pasukan tangga kedua Chelsea manakala Palace di tangga ke-17, satu mata di depan tiga pasukan tercorot.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 7:43am
d