utama

Murid OKU semangat ke sekolah

Oleh Omar Ahmad

BIARPUN mengidap masalah tulang rapuh, berstatus orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai ketinggian kira-kira 80 sentimeter, Ariq Arif Danial Razali, 7, tetap bersemangat memulakan sesi persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling, Johor Bahru.

Ibu Ariq, Sanisah Dollah, 36, berkata, anaknya begitu bersemangat untuk ke sekolah dan mengejutnya seawal 6 pagi sejak semalam untuk ke sekolah.

Katanya, walaupun fizikal anaknya kecil tetapi tahap pemikiran seperti kanak-kanak normal yang lain.

"Ariq ini kalau tidak kenal orang memang tak mahu bercakap, tapi sebenarnya dia kanak-kanak periang.

"Walaupun dia ada tulang rapuh dan hanya mengengsot untuk bergerak, dia mempunyai pemikiran normal dan boleh mengenal huruf, belajar, bercakap dan mempunyai keistimewaan mewarna.

"Sebelum ini saya pernah menghantar Ariq ke Pra Sekolah di Sekolah Bandar Tinggi di sini dan dari situ dia minat belajar, bercampur dengan kawan-kawan," katanya ketika ditemui pada hari pertama persekolahan Pendidikan Khas di SK Taman Perling, di sini, hari ini.

Menurut Sanisah, dia dan suami Mustaffa, 40, dimaklumkan mengenai keadaan Ariq sejak kandungan berusia lapan bulan dan menerima keistimewaan Ariq dengan hati terbuka.

Katanya, dari segi persiapan baju sekolah agak sukar dan terpaksa memakai baju-T putih serta seluar sukan pada hari pertama persekolahan kerana saiz tubuhnya yang kecil.

"Uniform sekolah sudah beli tetapi disebabkan saiz tubuh yang kecil, saya terpaksa hantar pakaian terbabit untuk diubahsuai dan ia belum siap lagi.

"Untuk tahun satu pendidikan khas ini, saya tidak boleh menemaninya sentiasa seperti pra sekolah, tetapi saya yakin Ariq boleh menyesuaikan diri dengan rakan baru yang senasib dengannya.

"Saya seperti ibu lain juga mengharapkan anak saya boleh belajar tetapi apa yang penting saya mahu dia sentiasa sihat kerana tulang peha kanan Ariq baru sahaja pulih daripada patah," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar OKU pekak, Raden Mohd Aiman Firdaus Zailan, 7, gembira dapat mendengar selepas menjalani rawatan menanam implan pada November lalu.

Ibunya, Nur Azizah Mohammad, 46, berkata anak kedua daripada tiga beradik itu dilahirkan tanpa cuping telinga tetapi boleh menguruskan diri sendiri termasuk mandi dan pakai baju.

"Alhamdulillah selepas tanam implan dan belajar di pendidikan khas ini, saya berharap Raden boleh belajar dengan selesa serta didedahkan dengan dunia luar.

"Dia boleh bercakap, berselawat dan membaca walaupun sedikit. Saya bersyukur dengan anugerah ini," katanya.

Tiga murid OKU tahun satu memulakan persekolahan sesi 2018 daripada jumlah keseluruhan 146 pelajar tahun satu di SK Taman Perling.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 3:34pm
d