utama

Kembali mencari identiti

Oleh Najiy Jefri

Gemersik vokalnya saat mendendangkan lagu bergenre balada atau R&B masih boleh dirasai.

Tidak lama dahulu, namanya pernah sebaris dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Dua dekad menumpahkan kecintaan dalam industri muzik, Liza Hanim kekal tersemat sebagai figura ulung yang pernah menebarkan halwa indah ke telinga peminat.

Memiliki kekuatan vokal yang boleh dianggap sempurna, meletakkan Liza dalam kelas tersendiri walaupun agak lama meninggalkan bidang nyanyian.

Siapa sangka, pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-17 menerusi lagu Gelisah Mimpi itu mencari kembali identiti diri untuk terus kekal bertapak dalam industri muzik selepas penyertaannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim keempat, baru-baru ini menobatkannya di tempat kedua.

Perjalanan seninya kini diatur rapi syarikat pengurusan LOL Entertainment yang mahu melihat kerjaya penyanyi berusia 38 tahun ini bersinar semula.

Lebih membanggakannya, impian yang tertangguh selama dua dekad mahu direalisasikan tahun ini.

“Insya-Allah menerusi perbincangan bersama pihak pengurusan, mereka merancang untuk saya mengadakan ‘showcase’ atau konsert tahun ini. Ini impian yang tertangguh kerana saya sendiri teringin sangat menjayakan persembahan sedemikian kerana sejak bujang sampailah berumah tangga, saya tak sempat melakukannya.

“Jika dulu kita mengharapkan penajaan, sekarang mungkin ada sesuatu yang diatur pihak LOL. Jika tiada aral, kami mungkin cuba mengadakannya pada tahun ini.

“Saya tidak kisah untuk mengadakan ‘showcase’ atau konsert. Mana yang datang dahulu itu yang saya buat. Sudah lama rasanya saya tidak menghiburkan peminat yang selama ini setia menanti.

“Tidak dinafikan, untuk mengadakan konsert memerlukan perancangan yang lebih lama dan kos juga lebih tinggi. Bagaimanapun, saya berharap sangat dapat menjayakan ‘showcase’ dulu, apatah lagi saya juga akan muncul dengan single baru berjudul Mimpi, ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya,” katanya lagu terbabit bakal dilancarkan pada hujung Februari ini.

Berlakon ikut kesesuaian

Selain aktif dalam bidang nyanyian, Juara Bintang Penghibur HMI (1999) ini juga pernah berlakon filem KL Menjerit dan Laila Isabella.

Walaupun hanya melakonkan watak kecil, bakat lakonan Liza tidak perlu dipertikaikan terutama ketika menjayakan watak Biduanita Negara Allahyarham Puan Sri Saloma menerusi P Ramlee The Musical pada 2008.

Ditanya, adakah masih berbekas kerinduan terhadap lakonan di jiwanya, Liza berkata, minatnya untuk terbabit dalam mana-mana produksi bergantung pada kekuatan naskhah dan watak yang diberikan.

Bagaimanapun, misinya tahun ini lebih kepada kepada usaha mengembalikan namanya dalam industri muzik.

“Jika ada tawaran berlakon, saya kena pilih jalan cerita dan lokasi penggambarannya. Zaman muda dulu bolehlah nak keluar dari Kuala Lumpur, tapi sejak bergelar ibu saya susah nak tinggalkan anak.

“Selain itu, watak yang ingin ditawarkan juga perlu sesuai dengan imej saya. Biarlah memberi motivasi kepada wanita dan memberi mesej positif kepada remaja,” katanya.

Mengimbau kembali persembahan di pentas akhir program Gegar Vaganza 4, baru-baru ini, Liza mengakui tidak ralat tewas kepada penyanyi tersohor Aishah.

Liza berkata, dia sememangnya mengharapkan kejuaraan itu berpihak kepada idolanya itu.

Bagaimanapun, dia sudah melakukan sehabis baik bagi yang mahu melihatnya bergelar juara pada malam itu.

“Saya tahu Aishah akan menang. Sebagai peminat, menjadi impian saya untuk melihatnya menjadi juara. Dia sememangnya seorang legenda.

“Apabila saya naik ke pentas, kalau ditakdirkan dapat nombor enam pun saya tak kisah. Bukan saya nak menidakkan harapan peminat, malah sebab peminat jugalah saya buat sebaik mungkin.

“Kebimbangan saya ketika itu adalah bagaimana mahu membuat persembahan sebab lagu yang dapat memang sangat kuat. Malam itu, saya mahu memastikan orang akan ingat persembahan saya dan saya juga bukannya hilang sebab menyanyi teruk,” katanya.

Kata Liza sebelum mengakhiri temu bual, dia menganggap apa yang dikecapinya pada malam konsert akhir sudah dijangkakan dan penyokongnya perlu menerima kenyataan meskipun ada di antara mereka kecewa.

“Jujurnya, apabila dapat masuk final, sasaran saya sudah tercapai. Kita kena percaya kepada rezeki. Memanglah ada juga rasa kecewa, tetapi kekecewaan itu biar setakat malam itu saja dan selepas itu, kita kena teruskan seperti biasa. Kita perlu memandang ke depan.

“Mereka mahu saya menyanyi, jadi saya kembali. Saya rasa sangat terharu apabila peminat yang dulu masih ada dan mereka datang balik. Apabila mereka bersikap sebegitu, saya yakin mereka percaya ada sesuatu dalam diri saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 6:53am
d