utama

Nike 'marak' spekulasi Coutinho

Oleh AFP

Paris: Nike menghangatkan spekulasi betapa Philippe Coutinho semakin hampir ke Barcelona pada Januari ini apabila melakukan kejutan semalam.

Gergasi pakaian sukan itu yang menaja Barcelona mengiklankan jersi Barca dalam laman sesawang milik mereka dengan cetakan nama bintang tengah Brazil itu.

Dengan menggunakan tajuk ‘Where the magic happens’, Nike bagaimanapun sudah memadam iklan berkenaan.

Malah, dalam mesej itu tertera perkataan: “Philippe Coutinho sudah bersedia mewarnai Nou Camp.”

Coutinho sememangnya ditaja oleh Nike dan memakai but gergasi pakaian sukan itu.

Dia pernah merayu untuk dilepaskan pada Ogos lalu selepas bidaan awal Barcelona untuk bintang Brazil itu ditolak, kemudiannya The Reds turut menolak dua tawaran lain.

Peneraju La Liga itu difahamkan mengemukakan tawaran bernilai 100 juta pound (RM548 juta), tetapi pemilik Liverpool menegaskan pemain berusia 25 tahun itu bukan untuk dijual.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 7:10am
d