utama

Hantar kebab pertama ke angkasa

Oleh Agensi

Zurich: Seorang ahli perniagaan di sini melancarkan kebab pertama ke angkasa sebagai simbolik pembukaan restoran barunya yang berkonsepkan angkasa lepas.

Pascal Leuthold menggunakan sebuah belon udara untuk membawa kebab berkenaan setinggi 37,795 meter ke udara pada minggu lalu.

Penonton melihat kebab itu terbang ke udara dalam satu perjalanan epik ke lapisan stratosfera sebelum kembali ke bumi dua jam selepas itu.

Makanan itu kembali semula ke bumi dalam keadaan keras dan beku.

Leuthold memberitahu, dia merancang selama tiga bulan untuk acara berkenaan sebagai simbolik pembukaan restoran miliknya yang berbentuk roket.

“Kami berpendapat apakah cara yang lebih baik untuk mengumumkan restoran baru kami kepada seluruh dunia dengan menghantar satu hidangan utama kami ke angkasa,” katanya.

Menurutnya, dia dan beberapa rakannya mengambil masa selama tiga bulan untuk merancang dan merakamkan aksi itu.

“Kami semua sangat bangga kerana berjaya melakukannya dengan baik walaupun tidak menyangka kebab itu akan kembali dalam keadaan beku.

“Ia bermula dengan satu jenaka tetapi ia bertukar menjadi satu acara yang sangat mengagumkan untuk kami semua,” jelasnya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 7:31am
d