utama

Bapa maut dikelar anak

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI maut dikelar anaknya yang mengamuk di Rumah Panjang Long Pawah di Belaga, semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa Indo Usa, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di leher.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 26 tahun itu tiba-tiba mengamuk sebelum melibas parang ke arah bapanya yang berada di ruai rumah panjang berkenaan.

Difahamkan, kejadian dipercayai dendam lama suspek terhadap mangsa yang sering memarahi dan memukulnya ketika remaja.

Katanya, suspek juga melibas parang ke arah rakan yang cuba menenangkannya sehingga lelaki berusia 30-an itu turut cedera.

"Dalam keadaan kecoh itu, suspek terus meluru ke arah bapanya sebelum mengelar leher lelaki itu.

"Melihat mangsa rebah dan berlumuran darah, suspek kemudiannya terus melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya.

Sumber berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke rumah panjang berkenaan untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Belaga terpaksa menaiki perahu untuk ke lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kesan daripada kelaran di bahagian lehernya.

"Suspek kemudiannya pulang semula ke rumah panjang berkenaan untuk menyerah diri bersama senjata yang digunakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Melay Tingom mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 10:56am
d