utama

Anak beranak pecah amanah RM4.58 juta [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Bekas setiausaha dan seorang pengarah Unit Pentadbiran Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, semalam atas 84 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM4.58 juta.

Zamrud Mansor, 77, dan anaknya Hazizul, 44, masing-masing dituduh atas 42 pertuduhan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di depan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, Zamrud yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha MISDC didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran RM4.3 juta kepada syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd dan RM280,000 lagi kepada tujuh syarikat pembekal lain atas pelbagai urusan.

Manakala Hazizul pula didakwa atas 42 pertuduhan kerana bersubahat dengan bapanya melakukan pecah amanah.

Semua kesalahan itu dilakukan mereka di Taman Perindustrian Batu Berendam antara Mac 2014 hingga Jun 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat, mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 bagi setiap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan Zamrud menghidap masalah jantung, manakala Hazizul pula masih bekerja di MISDC selain perlu menanggung isteri serta dua anak masih kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, Norma menetapkan tertuduh diikat jamin RM250,000 setiap seorang dan mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 7:57am
d