utama

'Jangan tularkan kisah kami'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“SAYA malu selepas kisah anak memakai kasut koyak tular kerana bukan tiada wang tetapi anak tidak mahu ke kedai untuk membeli keperluan itu.

“Saya minta kisah tular itu dihentikan memandangkan kami sudah mendapat pelbagai bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lalu dan anak juga mendapat RM1,800 setahun," kata Mazawati Ismail, 42, ibu kepada Nadia Natasya Ibrahim, 12.

Mazawati berkata, anak keenam daripada lapan beradik itu dalam kategori orang kurang upaya masalah pembelajaran dan seorang yang pemalu serta kini enggan ke sekolah.

Katanya, segala keperluan persekolahan sudah dibeli dan hanya tidak sempat membeli kasut ekoran sifat anak yang pemalu menyebabkan dia enggan ke kedai manakala keperluan sekolah anak ketujuhnya, Che Akmal Arini, 8, sudah dibeli termasuk kasut.

"Disebabkan tular itu, dia malu untuk berdepan masyarakat. Saya tidak tahu gambar yang diambil individu itu ditularkan di laman sosial Facebook.

"Kami sekeluarga minta gambar itu tidak terus disebar termasuk kasut koyak yang dipakai anak yang dirakam di Sekolah Kebangsaan Pantai Senok," katanya ketika ditemui di Kampung Sador, Pantai Senok, Bachok, hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui kisah tular itu pada 6 petang semalam selepas dimaklumkan guru anaknya.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan, dia bekerja mencari daun rokok dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari dan suaminya, Ibrahim Donik, 64, memelihara kambing.

Pada masa sama, pemimpin setempat, JKM, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah tampil memberi sumbangan wang tunai serta barangan keperluan.

Mazawati berkata, walaupun susah, dia sekeluarga tidak akan meminta bantuan kecuali jika ada orang memberi sumbangan.

"Saya harap orang ramai tidak salah faham dengan gambar tular itu dan minta hentikan segera," katanya.

Sementara itu, kisah ayah Mazawati, Ismail Abdullah, 78, dan ibunya, Che Sepioh Che Soh, 59, sebelum ini pernah disiarkan di akhbar kerana tinggal di kawasan tanah perkuburan.

Mereka bagaimanapun mendapat bantuan daripada pelbagai pihak.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 12:45pm
d