utama

'Kami sayang Cikgu Azmi'

Oleh Hamzah Osman

SUASANA sebak menyelubungi 650 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Menghulu, Langkawi, kerana menangisi persaraan guru besar kesayangan mereka, Azmi Din, 56, hari ini.

Tinjauan mendapati sekumpulan murid perempuan menangis teresak-esak sepanjang Majlis Sanjungan Budi dan Lambaian Kasih (MSBLK) yang berlangsung di dewan sekolah itu.

Murid, Nur Farisya Aliana Abdullah, 8, berkata, dia sebak dan menangis kerana sayangkan guru besarnya yang selama ini amat baik dengan semua murid.

"Selepas ini kami tak dapat jumpa lagi dengan Cikgu Azmi. Dia selalu nasihat kami belajar rajin-rajin dan besar nanti jadi orang baik-baik.

"Saya sayang Cikgu Azmi. Dia juga selalu sambut dan bersalam dengan kami di pintu pagar pada waktu pagi," katanya.

Rakannya, Siti Nuraishah Abdullah, 9, turut sebak dan kelihatan menangis teresak-esak sepanjang Azmi menyampaikan ucapan dan amanat terakhir pada MSBLK.

"Sepanjang tiga tahun saya di sekolah ini. Saya lihat Cikgu Azmi memang baik dengan murid. Kalau jumpa kami di kantin atau di mana saja dalam kawasan sekolah pasti dia akan tegur.

"Saya akan sentiasa ingat nasihat Cikgu Azmi. Harap dia akan terus sihat dan datanglah jenguk kami walaupun dah bersara," katanya yang bercita-cita menjadi guru apabila dewasa kelak.

Sementara itu, Azmi yang juga anak kelahiran Kampung Kelibang sudah berkhidmat sebagai pendidik selama 32 tahun, termasuk pernah berkhidmat di dua sekolah di Kapit, Sarawak.

Selain jawatan terakhir sebagai Guru Besar SK Sungai Menghulu, Azmi pernah menjadi Guru Besar SK Padang Matsirat, SK Kelibang dan SK Ulu Melaka, di Langkawi serta Pegawai Pembangunan dan Aset di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi.

Azmi dalam ucapannya, berharap SK Sungai Menghulu akan terus mengecapi kejayaan dalam kedua-dua bidang akademik dan kokurikulum.

"Saya berharap supaya murid-murid sekolah ini dapat belajar bersungguh-sungguh serta berjaya dalam mencapai cita-cita," katanya.

Terdahulu, Azmi yang diiringi isterinya, Che Hasnah Shafie, 55, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan tiba di pekarangan sekolah dengan menaiki helikopter dan disambut tepukan gemuruh warga sekolah itu.

Majlis turut diserikan dengan acara memotong pulut kuning, persembahan pelajar dan guru serta penyampaian cenderahati kenangan.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Halid Ali, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Langkawi Abdul Razak Jusoh, pengetua dan guru besar sekitar Langkawi.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 5:00pm
d