utama

Mangsa samun direman seminggu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MANGSA samun di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor, petang semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa samun yang bekerja sebagai pengaturcara di sebuah kafe siber itu ditahan reman sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan kes yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Lelaki berusia 32 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan pada 8 malam semalam dan mendapat lapan jahitan di kepala sebelah kirinya, dan kini dalam keadaan stabil.

“Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas suspek samun yang maut mengesahkan kematiannya disebabkan kesan tikaman di leher.

Katanya, mayat lelaki berusia 32 tahun itu masih belum dituntut dan dalam proses pemakluman kepada keluarganya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang perompak yang bersenjatakan pemutar skru maut apabila ditetak mangsanya menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian samun kira-kira 2.45 petang semalam.

Kejadian di rumah mangsa di Jalan Jenawi 3, Taman Puteri Wangsa itu berlaku akibat pergelutan antara mangsa dan suspek.

Mangsa parah di kepala dan pemeriksaan susulan membawa kepada penemuan seorang lelaki terbaring dan meninggal dunia di lorong belakang rumah mangsa.

Mangsa mengecam lelaki itu serta mengatakan dia adalah suspek yang memasuki rumah, mengugut menggunakan pemutar skru dan bergelut dengannya.

Dalam kejadian itu, semua barang mangsa yang dicuri suspek iaitu dompet, wang tunai sebanyak RM730, cincin emas dan telefon bimbit Motorola ditemui semula di poket kiri seluar suspek.

Berita berkaitan

Perompak maut ditetak mangsa

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 5:10pm
d