utama

Jenazah empat beranak disemadi di Singapura [UPDATE]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria

JENAZAH empat beranak warga Singapura dituntut anggota keluarga mereka di Hospital Port Dickson HPD) dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, petang ini.

Kesemua jenazah akan dibawa balik untuk disemadikan di tanah perkuburan Islam di Choa Chu Kang di seberang tambak.

Rakan kepada Rosli Samad, 54, yang maut dalam kemalangan itu berkata, Allahyarham yang bekerja sebagai mekanik motosikal di negara itu mempunyai empat anak.

"Mereka dalam perjalanan pulang ke Singapura semalam. Ini adalah khidmat bakti saya kepada arwah sepanjang lapan tahun berkenalan.

"Arwah mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan tetapi kedua-dua anak lelaki tidak mengikuti arwah bercuti ke sini," katanya yang enggan dikenali kepada ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HPD, hari ini.

Beliau berkata jenazah Rosli berada di HTJ untuk bedah siasat manakala jenazah isteri dan dua anaknya di HPD.

Katanya, tiga van jenazah digunakan untuk membawa pulang jenazah empat sekeluarga itu ke Singapura.

Sementara itu, sepupu mangsa yang tinggal di Shah Alam berkata, dia mengetahui kemalangan itu lewat petang semalam melalui media sosial Facebook dan kemudian disahkan keluarganya di Singapura apabila dihubungi.

"Memang kami terkejut, difahamkan mereka dalam perjalanan bercuti di Port Dickson dan dijangka balik ke Singapura petang ini.

"Saya dan suami kemudiannya bergegas ke HPD awal pagi tadi. Kami tidak pasti sudah berapa lama mereka bercuti di sini," katanya.

Selain Rosli, turut maut ialah isterinya Maimunah Sapari, 51, dan dua anaknya Dayana Sarah dan Nor Amalina, masing-masing berumur 18 dan 21 tahun.

Terdahulu, waris mangsa hadir di perkarangan rumah mayat Hospital Port Dickson sejak jam 8 pagi tadi.

Semalam, empat sekeluarga itu maut selepas kereta Honda Stream yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori tanpa muatan yang datang dari arah Sepang menuju ke Seremban di jalan Lukut-Sepang.

Seramai empat orang cedera dalam kemalangan itu yang turut membabitkan tiga kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal, 2.30 petang semalam.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 5:11pm
d