utama

Mustaqim cari peluang

Oleh Nor Akmar Samudin

Walaupun kemunculannya dalam bidang lakonan kurang menyerlah, Mustaqim Bahadon, 32, tidak pernah menyalahkan sesiapa dan percaya rezekinya tetap ada dalam bidang itu dan dia perlu terus berusaha.

Jika dihitung, sudah lapan tahun anak kelahiran Perlis ini mempertaruhkan masa depannya dalam dunia lakonan dan dia sering ke uji bakat berlakon drama.

“Saya tidak duduk goyang kaki dengan hanya mengharapkan tawaran datang sendiri. Tiada masalah pergi uji bakat kerana faham keadaan sekarang tidak seperti dulu yang kini ramai bakat baru dan saya tidak pernah memilih watak.

“Mungkin ketika ini perjalanan kerjaya seni masih perlahan, namun tidak mengapa kerana tawaran tetap ada.

“Terbaru saya berlakon dalam drama bersiri Jangan Padam Rindu bersama Keith Foo dan Emma Maembong.

“Walaupun saya bukan membawa peranan utama tetapi watak Remy iaitu rakan baik kepada Aqid Fauzan (Keith Foo) adalah ‘penggerak’ kepada jalan cerita drama itu. Remy menjadi ‘batu api’ dan cuba menghuru-harakan hidup Aqid,” katanya.

Tidak bergantung pendapatan kepada lakonan semata-mata, setahun lalu Mustaqim menbuka kedai gunting rambut, Shortea Barber di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Jika tiada tawaran berlakon, di sanalah saya berada. Saya memilih membuka kedai gunting rambut kerana menggunting rambut kini mempunyai seni tersendiri.

“Negara kita sudah ada tukang gunting rambut profesional. Mereka yang mahukan khidmatnya mesti buat janji temu.

“Sebagaimana dunia rekaan fesyen yang sering berubah, seni menggunting rambut juga melalui gelombang yang sama. Oleh itu tukang gunting rambut sekarang mesti jadi lebih kreatif dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini. Orang sekarang sangat ke hadapan,” katanya.

Selain itu dia juga terbabit dalam perniagaan pengurusan acara.

Imbas semula pembabitannya dalam dunia lakonan, Mustaqim yang juga aktif sebagai model dan pernah menjadi bekas finalis Pencarian Lelaki Maskulin 2008/2009.

Bagaimanapun, selepas tamat pertandingan itu, dia pulang ke Perlis dan bekerja di sana.

“Selepas dua tahun berada di kampung, saya datang semula ke Kuala Lumpur kerana mahu mencari peluang kerjaya yang lebih luas,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 6:29am
d