utama

'Saya tidak sampai hati...'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ketika rakan seusia sudah mempunyai kehidupan dan kerjaya masing-masing, Mardhiah Mohd Norani, 25, pula hanya memendam impian itu kerana perlu berkorban menjaga bapanya yang lumpuh sejak lebih enam bulan lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk bekerja buat sementara waktu kerana perlu membantu ibunya, Norsiah Mat Yatim, 59, bagi menjaga bapanya, Mohd Norani Abd Rahman, 60, yang lumpuh sejak Jun tahun lalu.

“Selepas tamat pengajian pada Jun 2016, saya sempat bertugas sebagai guru di Wangsa Maju sementara menunggu konvokesyen pada April 2017.

“Saya tawarkan diri untuk membantu selepas tangan kiri bapa dipotong apabila dia tiba-tiba lumpuh.

“Ibu pula ada masalah kesihatan termasuk kencing manis. Saya tidak sampai hati membiarkan ibu menguruskan bapa berseorangan,” katanya ditemui di rumah keluarganya di Taman Melati, semalam.

Dia ditemui apabila pereka tangan elektronik cetakan tiga dimensi (3D), Sujana Mohd Rejab menyampaikan tangan Delta Bionic-EXIII kepada bapanya.

Menurutnya, dia tidak terkilan masih belum mendapat pekerjaan kerana keutamaannya adalah mahu melihat bapanya sembuh.

“Memanglah ada rasa cemburu bila lihat ramai kawan-kawan ada kerjaya masing-masing tetapi tak apalah, yang penting bapa sembuh.

“Dulu bapa terlantar namun kini, saya gembira kerana bapa boleh bangun dan berjalan sedikit.

“Insya-Allah, jika kesihatan bapa bertambah baik, saya akan mencari kerja,” katanya.

Sementara itu, Mohd Norani berkata, dia lumpuh akibat tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

“Tangan kiri terpaksa dipotong akibat saluran darah tersumbat. Mula-mula rasa kecewa tetapi sebagai orang Islam, saya reda.

“Saya berkenalan dengan Sujana menerusi laporan berita di akhbar sebelum seorang rakan setugas di Sabah berhajat menyumbangkan tangan itu kepada saya.

“Saya tertarik dengan tangan palsu rekaan Sujana kerana fungsinya lebih praktikal untuk melakukan kerja mudah berbanding tangan palsu kosmetik yang statik walaupun harga kedua-duanya hampir sama.

“Kini, dengan tangan Delta Bionic-EXIII, saya harap dapat memudahkan saya untuk kembali bekerja satu hari nanti,” katanya.

“Saya berterima kasih kepada rakan setugas yang menghadiahkan tangan ini kepada saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 8:12am
d