utama

Biawak petunjuk jumpa mayat kakak

Oleh Zul Ikwan Muhammad

WANITA menjadi mangsa lemas pertama akibat banjir tahun ini di Johor, selepas ditemui tertiarap di dalam parit bersebelahan jalan pintas FELDA Endau-Kampung Teriang berhampiran Sungai Teriang Kecil, Endau, 6 petang semalam.

Mangsa, Rozimah Abdul Manap, 42, hilang selama empat hari selepas pulang dari tempat kerjanya di resort di Endau, Isnin lalu, ketika hujan lebat dan air mula naik di beberapa kawasan kampung di sekitar Endau.

Mangsa menunggang motosikal sering melalui jalan pintas di tepi Sungai Teriang Kecil itu untuk ke tempat kerjanya dan dipercayai dihanyutkan arus deras akibat limpahan air sungai berkenaan sebelum lemas.

Mayatnya ditemui adiknya, R Kharul Anuar, 34, kira-kira 6 petang semalam ketika mencarinya di kawasan berkenaan.

R Kharul Anuar berkata, selepas mendapat tahu kakaknya tidak pulang ke rumah Isnin lalu, suami mangsa serta keluarga mencarinya di rumah rakan-rakan selain cuba menghubungi telefon bimbit mangsa namun gagal.

"Kami difahamkan arwah memberitahu majikannya mahu berhenti kerja dan berusaha mencarinya.

"Selepas empat hari tidak pulang dan gagal dikesan, kami bercadang membuat laporan polis mengenai kehilangannya, namun terdetik untuk menyusur dan cuba mencari di sekitar laluan yang biasa dilaluinya.

"Bagaimanapun, ketika pertama kali melalui kawasan itu saya tidak perasan mayat kakak tertiarap di dalam parit berkenaan kerana motosikalnya terlindung di sebalik rumpai malah beberapa penduduk yang melalui kawasan itu menyangkan mayatnya adalah karung baja yang hanyut," katanya ketika ditemui malam tadi.

Menurutnya, bagaimanapun ketika melalui kawasan itu untuk pulang ke rumah, dia ternampak biawak disangkakan mahu memakan sesuatu sebelum mendapati objek itu adalah mayat kakaknya berdasarkan baju yang dipakai ketika keluar dari rumah.

Suami mangsa, Mohd Fauzi Liman, 42, berkata selepas arwah tidak pulang dan gagal dihubungi sejak Isnin lalu, dia berusaha mencari isterinya di merata tempat termasuk di rumah mentua, rakan mangsa dan kawasan sekitar namun mereka tidak tahu di mana isterinya berada.

"Walaupun sedih dengan berita kematian isteri, kami bersyukur kerana mayatnya ditemui, jika tidak pasti mayat dihanyutkan lebih jauh atau dimakan haiwan liar," katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa ketika dihubungi berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut terutama mencari punca sebenar kematian sama ada terdapat unsur jenayah atau kemalangan," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 2:21pm
d