utama

Berbogel ronda pekan [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

RAKAMAN video menunjukkan seorang lelaki berbogel dan menunggang motosikal dikatakan di pekan Teluk Intan tular di media sosial sejak petang tadi.

Kelakuan tidak senonoh lelaki dianggarkan berusia 30-an itu dirakam oleh beberapa pengguna jalan raya dalam keadaan tanpa seurat benang dan hanya memakai selipar sambil ‘meronda’ pekan dengan menunggang motosikal.

Setakat ini tiga video berdurasi 21, 10 dan 43 saat membabitkan kelakuan individu berkenaan tersebar dan dikongsi ramai di media sosial terutama Facebook (FB).

Gambar lelaki terbabit turut dirakam dan tular serta dimuat naik di FB dengan status ‘pesakit mental bogel membawa motosikal di pekan Teluk Intan.’

Video dan gambar berkenaan setakat ini sudah dikongsi lebih 4,000 pengguna media sosial dan mendapat ratusan komen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kesahihan perkara itu.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu.

“Polis sedang menyiasat mengenai video itu dan berusaha mengesan lelaki terbabit sekiranya benar berlaku di Teluk Intan,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 8:58pm
d