utama

'Haqiem serasi dengan saya'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Tampil dengan single terbaru Aku Sendiri dihasilkan bersama penyanyi sedang meningkat naik Haqiem Rusli, mungkin akan ada beranggapan juara Akademi Fantasia 2015, Mohammad Sufie Rashid atau Sufi mahu menumpang populariti bintang muda itu.

Tambahan pula, dalam lingkungan penyanyi muda digelar ‘budak-budak baru nak up’ (BBNU), Haqiem yang paling menonjol kerana lagunya Tergantung Sepi mendapat tontonan lebih 20 juta di YouTube.

Bukan itu saja, single lain yang dihasilkan daripada kerjasama dengan beberapa penyanyi lain juga mendapat tempiasnya apabila kebanyakan karya dihasilkan turut melonjak naik dan diterima baik peminat industri muzik tempatan.

Ditemui dalam sesi fotografi khas, Sufi akui dia menumpang populariti Haqiem tetapi dengan cara yang baik, namun menafikan mempergunakan penyanyi itu bagi memastikan kelangsungan kerjaya.

“Semua ini berlaku secara kebetulan dan saya memang berkawan dengannya. Sewaktu menghasilkan Aku Sendiri, saya lepak dengan dia. Berbincang sambil memetik gitar tiba-tiba kami memperoleh melodi ini. Ia sangat bagus. Menerusinya saya akui berasakan ada keserasian untuk kami bekerjasama,” katanya.

Menurut Sufi, untuk menghasilkan single terbaru selepas kejayaan Aku Sanggup yang memperoleh hampir 11 juta tontonan di YouTube, dia sedikit tertekan.

“Sebenarnya banyak lagu yang cuba saya hasilkan dan pada waktu sama turut mendapatkan karya daripada komposer lain.

“Bagaimanapun, ia tidak memenuhi kehendak syarikat pengurusan. Hasil karya seni terbaik terbentuk dalam cara dan bentuk yang unik.

“Bayangkan lagu Aku Sendiri terhasil di saat saya dan Haqiem sedang lepak, bermain ‘video game’ dan sambil memetik gitar. Tiba-tiba saja kami dapat menghasilkan melodi Aku Sendiri, apabila kami memperdengarkan kepada teman dan syarikat pengurusan mereka juga menggemarinya,” katanya.

Menjelaskan mengenai keyakinannya terhadap karya dihasilkan Haqiem, Sufi berkata, mengapa tidak dia menggunakan khidmat komposer yang memang dia kenal rapat kerana keserasian memudahkan mereka bekerjasama.

“Jujur melihat Haqiem, ia seperti mengingatkan kepada diri saya sendiri yang pada usia muda pada awalnya mencuba untuk bermain piano akhirnya berkesempatan mengembangkan bakat dalam bidang penciptaan lagu.

“Dalam menghasilkan lagu ini dan bekerja dengan Haqiem, disebabkan kami berkawan saya rasa kedekatan itu wujud. Saya boleh rasa dengan apa yang dia rasa,” katanya.

Tambahan pula kata Sufi, dia juga rasa bertuah kerana Haqiem sendiri tidak mudah untuk bekerja dengan semua orang dan dia agak memilih.

“Saya akui dalam penghasilan Aku Sendiri, saya kongsi peminat Haqiem untuk menarik perhatian mendengar lagu dihasilkan ini, tetapi pada waktu sama apabila saya mendendangkan lagu ini ia secara tidak langsung membantu menaikkan reputasinya sebagai komposer.

“Bagaimanapun, saya tidaklah mempergunakan dia hingga menyuruh Haqiem memuat naik lagu yang dihasilkan ini dalam sosial media miliknya,” katanya.

Rancang kahwin

Bagi lelaki berusia 27 tahun ini, adalah waktu terbaik untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya, apatah lagi sekiranya mereka tidak bekerja tetap.

Soal jodoh, nikah dan kahwin biasanya menjadi satu isu fobia kerana bimbang tidak mampu menanggung anak dara orang.

Buat mereka yang bergelar anak seni, isu nikah dan kahwin juga ada ketikanya turut menjadi tekanan kerana bimbang andai berkahwin akan membuatkan peminat lari.

Sufi juga tidak lari daripada memikirkan soal yang sama, namun dia yakin sekiranya mengambil keputusan bernikah pada tahun ini, ia dianggap ketentuan yang sudah ditetapkan. Menerimanya sebagai rezeki dan membina mahligai hidup dalam usia sedemikian.

Seperti yang umum tahu penyanyi kelahiran Singapura itu sudah mempunyai kekasih hati iaitu seorang pramugari berasal dari Negeri Sembilan.

Berbicara lanjut mengenai hubungan cintanya, Sufi berkata, jujur dia sudah pun bersedia andai ditakdirkan bernikah tahun ini.

“Saya tidak rasa andai membuat keputusan untuk bernikah tahun ini, peminat tidak boleh menerimanya. Sekarang ini peminat sudah bijak. Mereka meminati seseorang penyanyi itu kerana bakatnya dan bukan disebabkan personaliti,” katanya.

Kata Sufi, dia tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan bernikah tahun ini. Perancangan rapi perlu dilakukan terlebih dahulu agar tidak mengganggu kerjaya seni.

“Tidak dinafikan sebaik 2018 membuka tirai, kerjaya seni saya meluncur laju. Malah tawaran persembahan juga sudah diterima hingga pertengahan tahun. Pada waktu sama saya juga mahu mencuba menceburi bidang baru iaitu lakonan.

“Kalau benar mahu bernikah saya akan pastikan segala kerja dapat diselesaikan. Saya tidak mahu dalam jadual kerja padat saya mahu bernikah kerana takut nanti tidak dapat memberikan tumpuan,” katanya.

Menurut Sufi, dalam waktu sama kalau boleh dia tidak mahu bertunang, kalau sudah sampai jodoh dia mahu terus bernikah dan majlis dilaksanakan dalam suasana sederhana.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 7:20am
d