utama

Tradisi unik satu abad

Oleh Khalid Latip

Tanjung Manis: Benarlah seperti kata pepatah, lain padang, lain belalang. Perumpamaan ini cukup sesuai menggambarkan budaya berarak menaiki tandu di Bumi Kenyalang yang jauh berbeza berbanding di Sabah dan Semenanjung.

Jika di kebanyakan negeri budaya ini biasanya diamalkan bagi mengiringi pasangan pengantin baru, sebaliknya di Sarawak ia lebih sinonim dengan perarakan bagi meraikan kanak-kanak yang baru khatam al-Quran.

Tradisi mengarak kanak-kanak khatam al-Quran menggunakan tandu ini terus subur dalam kalangan penduduk di Sarawak, khususnya bagi penduduk di Kampung Belawai di sini, yang diamalkan sejak lebih 100 tahun.

Menariknya, tandu yang digunakan bagi tujuan perarakan ini juga dibina dengan rekaan yang unik, seperti berbentuk kasut, burung, labah-labah, kenderaan ataupun hiasan berbentuk buah-buahan.

Tandu itu juga bukan dihasilkan individu tertentu ataupun keluarga kepada anak yang khatam al-Quran, sebaliknya ia dibina secara bergotong-royong membabitkan penduduk kampung.

Warga emas Abdul Hakimi Rosli, 76, berkata, dia terharu kerana penduduk di Belawai masih lagi menghidupkan tradisi mengarak kanak-kanak khatam al-Quran menggunakan tandu itu.

“Suatu ketika dahulu perarakan tandu menjadi penyeri dalam setiap keramaian penduduk kampung, bukan saja khatam al-Quran, malah ketika majlis perkahwinan dan berkhatan beramai-ramai.

“Kini, tradisi ini hanya diteruskan dengan perarakan kanak-kanak yang baru khatam al-Quran dan saya berharap biarlah ia terus kekal pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Pemanca Belawai, Dandan Sidi berkata, tradisi yang diwarisi itu mempunyai nilai tersendiri kepada penduduk Belawai.

“Ukhuwah terjalin dalam kalangan penduduk ketika membuat tandu itu secara bergotong royong, ia sekali gus dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk.

“Saya juga berharap budaya ini tidak akan mati dan akan diteruskan generasi muda di masa akan datang. Inilah sebahagian warisan yang perlu diteruskan, bukan hanya tatapan dalam buku-buku sejarah,” katanya.

Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang berkata, menyedari hakikat itulah, perarakan berjalan kaki sejauh tiga kilometer mengarak kanak-kanak khatam al-Quran itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa.

Menurutnya, ketika majlis itu, sebanyak 18 buah tandu digunakan untuk mengarak kanak-kanak berkenaan di SK Abang Gesa sebelum berakhir di Pantai Belawai.

“Tradisi akan kami pelihara dan teruskan supaya ia tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 8:32am
d