utama

'Agak-agak la nak ejek-ejek ni'

Oleh Mohd Sah Muda

DENDAM lama akibat diejek menjadi punca remaja cedera di belakang badannya akibat ditikam di Kampung Pengkalan Batu, Mersing.

Pemangku Ketua Polis Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa, berkata kejadian pada kira-kira 11 pagi, Sabtu.

Menurutnya, ketika itu mangsa, Mohammad Amri Omar, 15, bersama ibunya sedang mendengar ceramah Maulidur Rasul di masjid kampung itu.

“Tiba-tiba suspek yang berusia 31 tahun, berjalan dari belakang dan terus menikam mangsa dengan pisau,” katanya.

Beliau berkata, akibat tikaman itu mangsa mengalami pendarahan.

“Mangsa kemudian dihantar orang awam ke Hospital Mersing untuk rawatan,” katanya, di sini.

Menurutnya mangsa luka di bahagian badan dengan kedalaman 2.5 sentimeter dan menerima empat jahitan.

Sehubungan itu, katanya, suspek yang berasal dari Kampung Pengkalan Batu yang juga OKU kategori ketidakupayaan masalah pembelajaran ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal punca kejadian dipercayai akibat dendam ejek mengejek di antara suspek dengan mangsa pada hujung tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 11:20pm
d