utama

'Tak semonggah boto perangai ko jang!'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

CEMAS diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), lelaki dipercayai kaki judi lari sehinggakan merempuh motosikal.

Drama ‘gabra’ itu berlaku di depan premis menjual nombor ekor di Senawang, Seremban, hari ini.

Lelaki beragama Islam berusia 30-an itu ditahan dan bergelut dengan penguatkuasa menyebabkan anggota terbabit cedera di tangan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berkata lelaki itu antara 14 lelaki berusia 30 hingga 60-an yang ditahan kerana disyaki berjudi dan berada di premis perjudian.

Menurutnya, serbuan dilakukan di lima premis menjual nombor ekor di sekitar Seremban, bermula kira-kira 5 petang hingga 7 malam.

“Ketika ditahan, dia mendakwa melarikan diri kerana takut perbuatannya membeli nombor ekor terbongkar.

“Selainnya, seorang lagi lelaki berusia 50-an turut melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Kita turut menahan seorang warga Indonesia dan pemeriksaan mendapati pasport tamat tempoh.

“Suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, malam tadi.

Ahmad Zaki berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 79 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Beliau berkata, operasi itu diadakan susulan aduan orang awam yang melihat ramai pengunjung beragama Islam di premis berkenaan.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 11:54pm
d