utama

Guardiola gusar Aguero cedera

Oleh AFP

Manchester, United Kingdom: Pep Guardiola berkata, beliau perlu melindungi Sergio Aguero - satu-satunya penyerang tengah Manchester City yang masih cergas dalam tempoh beberapa minggu ini ketika mereka bertekad memburu empat kejuaraan.

Guardiola memilih untuk menggilirkan Aguero dengan Gabriel Jesus bagi memastikan kedua-dua pemain kekal cergas tetapi pemain Brazil itu mengalami kecederaan ligamen lutut ketika City seri 0-0 dengan Crystal Palace pada 31 Disember dan dijangka tidak akan diturunkan sehingga pertengahan Februari.

City akan bertarung sekurang-kurangnya tujuh perlawanan dalam tiga kejohanan pada Januari dan Guardiola tidak pasti sama ada Aguero akan diturunkan sebagai pemain utama dalam semua perlawanan itu malah Guardiola membayangkan pemain lain akan mengisi posisi berkenaan bagi meringankan beban bintang Argentina terbabit.

Aguero tidak lagi mengalami masalah hamstring yang menyebabkan dia sering terlepas perlawanan sebelum kehadiran Guardiola pada Julai 2016, namun beliau bimbang pemain itu akan keletihan.

“Kami mempunyai pilihan lain untuk diturunkan di posisi itu dan sudah pasti Sergio akan terus bermain dan berharap dia akan mempamerkan tahap permainan tinggi yang dimilikinya,” katanya.

“Sudah pasti kami akan bercakap dengannya sebelum dan selepas perlawanan untuk mengetahui pandangannya, kerana apabila anda mempunyai perlawanan setiap tiga atau empat hari sekali, anda perlu berehat.”

Guardiola, bagaimanapun percaya bahawa tahap fizikal penjaring terbanyak City sepanjang zaman itu semakin meningkat dalam tempoh 18 bulan ini.

“Saya fikir kami amat gembira dengan apa yang dia lakukan,” katanya.

“Pada ketika ini Sergio begitu bersemangat. Sebelum ketibaan kami, dia sering mengalami kecederaan panjang dan dalam tempoh dua tahun ini dia tidak mengalaminya.”

“Dia pernah digantung dua atau tiga kali tetapi selepas itu dia sentiasa cergas. Jadi kami harap kami dapat menanganinya sehingga ke akhir musim kerana sudah tentu kami perlukan jaringan daripada penyerang.”

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 6:53am
d