utama

Boleh tapi...

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: “Karakter dalam watak anime itu kita tidak akan masukkan dalam kehidupan realiti sebenar,” kata peminat kostum adiwira, Salihin A Jalil, 28.

Salihin berkata, tidak salah jika seseorang itu meminati sesuatu watak anime mahupun komik yang diminatinya tetapi perlu ada batasan.

“Jika seseorang itu minat terhadap sesuatu watak, mereka perlu berpada-pada dan jangan hanya ikut nafsu semata-mata.

“Saya sendiri minat watak cosplay adiwira seperti Kamen Rider dan Power Rangers (Red Rangers), tetapi perlu tahu hukum-hakam agama di mana jika watak itu ada unsur memuja, tidak perlu kita menyembah seperti apa dimainkan dalam watak itu sehingga boleh merosakkan akidah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, anak muda terutama remaja antara individu dilihat meminati watak anime pada masa kini.

“Memang tak dinafikan anak muda masa kini dilihat amat mudah sekali terjebak dengan dunia cosplay hingga menimbulkan pandangan negatif daripada masyarakat luar.

“Tetapi mereka perlu sentiasa ingat supaya jangan terlalu taasub dengan watak animasi berkenaan hingga sanggup berhabis duit membeli cosplay setiap bulan atau membeli barangan solek semata-mata hingga menyusahkan ibu bapa,” katanya.

Seorang lagi peminat cosplay hijab, Qatrunnada Shahrul Nudin, 23, berkata, dia mula meminati watak cosplay anime sejak tiga tahun lalu selepas menyertai acara Anime, Game dan Cosplay (ACG).

“Sejak itu saya mula minat akan watak cosplay seperti Tsubomi Kido dari watak Mekakucity hingga menyerupai watak berkenaan.

“Saya sentiasa menitikberatkan soal aurat sebelum menyerupai sesuatu watak di mana jika watak itu seksi, saya akan ubah suai dengan memakai pakaian yang sedikit labuh serta menjadikan tudung sebagai rambut dalam sesuatu watak,” katanya.

Baginya, seseorang itu tidak boleh berlebihan dalam berhias sehingga mendedahkan aurat kerana ia salah dari segi agama.

“Kita boleh minat sesuatu watak anime, tetapi jangan sampai taksub hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.

“Minat terhadap watak anime ini hanya untuk memberi keseronokan dan mengisi masa lapang bersama rakan kerana jika ada acara seperti ACG, baru kita semua akan berkumpul untuk mengekspresikan watak yang diminati kepada khayalak umum,” kata Qatrunnada.

Katanya, sebagai pelajar, dia membuat keputusan membuat baju cosplay sendiri daripada beli di luar kerana dilihat lebih menjimatkan kos dan tidak membazir.

Sementara itu, seorang lagi penggemar cosplay hijab, Amalina Hamzah, 21, berkata, jika seseorang itu pandai membawa diri dengan menjaga aurat maka ia tidak salah sama sekali untuk meminati sesuatu watak adiwira berkenaan.

“Pemakaian cosplay ini memang banyak kebaikan dan keburukannya cuma kita perlu berpada-pada dan jangan terlalu taasub.

“Walaupun kami terbabit dengan komuniti cosplay, sekurang- kurangnya kami tidak terjebak dengan kegiatan jenayah, gejala sosial seperti mat rempit, judi, minum arak, pergi kelab malam dan sebagainya,” katanya.

Amalina berkata, jika seseorang gadis itu minat akan sesuatu watak seksi, mereka perlu mencari alternatif lain untuk menggayakannya supaya tidak mendedahkan aurat.

“Saya akan menggayakan tudung berwarna kuning untuk watak Uzumaki Naruto bagi menggantikan rambutnya.

“Sebelum nak buat apa-apa keputusan, kita kena kaji pelbagai aspek lebih-lebih lagi dalam soal pemakaian. Jika dah tahu, watak itu memuja dewa, awal-awal lagi kita perlu tolak tepi,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kostum anime atau adiwira dihukumkan haram sekiranya ia mendedahkan aurat serta menyerupai dewa dalam agama, kepercayaan lain atau rekaan dalam watak seperti Beerus, Haruhi Suzumiya dan Deus Ex Machina.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sekiranya kostum itu memerlukan belanja besar sehingga membazir maka ia juga diharamkan.

Katanya, pemakaian kostum boleh jadi sama ada membawa kepada pembaziran harta, masa atau sebaliknya, maka ia adalah membuang masa dan tidak bermanfaat.

Berita berkaitan

Mufti kata haram...

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 8:02am
d