utama

Kukuh nama dalam pengacaraan

Oleh Ramlah Zainal

Walaupun sudah bergelar isteri kepada kerabat diraja Johor dan Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 30, pelakon dan pengacara berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Juliana Evans tetap meneruskan karier seni yang diceburinya sejak dulu.

Menurut Juliana, 28, dia juga bertuah kerana suami juga menyokong dan merestui minatnya dalam bidang lakonan.

“Saya memang memilih dari segi watak sejak dulu. Apa yang penting, saya akan meminta pandangan suami dulu setiap kali dapat skrip.

“Suami juga tidak letak syarat, tetapi sebagai isteri saya akan menolak babak romantik yang keterlaluan untuk menjaga nama baik keluarga dan pihak istana,” katanya.

Bagaimanapun, kata Juliana, dia ingin fokus pada bidang pengacaraan pada tahun ini.

“Saya terbabit dengan dua projek iaitu Mahligai Cinta dan Fly To Asia. Dalam program travelog 13 episod Fly Us To Asia untuk saluran TV1, saya bergandingan dengan kawan baik, pelakon Liyana Jasmay meneroka negara Asia seperti India, Vietnam dan Filipina.

“Selain itu, saya ingin memberi fokus kepada perniagaan perhiasan dan aksesori sekali gus sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Berkongsi mengenai Mahligai Cinta pula, kata Juliana, dia menganggap tawaran sebagai hos Mahligai Cinta tepat pada masanya.

Mahligai Cinta bukan saja mengabadikan kenangan pasangan mempelai sekali gus memberi inspirasi kepada bakal pengantin untuk membuat persediaan hari bahagia mereka.

“Saya ditawarkan buat program ini sejak pertengahan tahun lalu. Program ini juga untuk mengukuhkan nama dalam dunia pengacaraan.

“Sebelum ini saya bermula dengan program kanak-kanak dan remaja. Mahligai Cinta adalah program yang lebih matang dan sesuai dengan status sekarang.

“Saya juga lebih peka dengan majlis perkahwinan kerana ada pengalaman menguruskan majlis resepsi sendiri. Pada mulanya saya berasa sukar juga kerana ia perkara baru. Setakat ini, kami sudah menyiapkan rakaman program ini sebanyak enam episod,” katanya.

Juliana juga tidak kisah dibandingkan dengan hos sebelum ini.

“Setiap hos ada kelainan dan saya juga menjanjikan sesuatu yang baru. Saya juga menonton program antarabangsa sebagai inspirasi seperti Say Yes To The Dress. Saya juga bersedia menerima kritikan tapi biarlah yang membina daripada penonton,” katanya.

Sejak mula bersiaran pada 2011, program ini pernah dikendalikan barisan hos seperti Datuk Jovian Mandagie, Izreen Azminda, Raja Azureen Eleena Raja Zulkifli, Fatin Nuraisya dan Mira Filzah.

Antara majlis perkahwinan dan kisah cinta yang bakal dipaparkan dalam musim baru adalah perkahwinan pelakon Mawar Rashid, Aisya Hasnaa, Mohd Kurniawan Naim iaitu anak lelaki kepada Datuk Bung Moktar Radin serta perkahwinan Instafamous Syafiqah Aina.

Tidak ketinggalan, paparan menarik kisah cinta artis popular seperti Nana Mahazan dan Fahrin Ahmad.

Program bercorak gaya hidup 26 episod ini mula bersiaran setiap Khamis, jam 11.30 pagi di TV3 mulai 4 Januari lalu.

Ditanya projek teater pula, kata Juliana, dia mengakui rindu untuk kembali beraksi di pentas itu.

“Saya masih menanti projek yang bagus. Kali terakhir berlakon dalam teater Bawang Putih Bawang Merah arahan Erma Fatima yang dipentaskan di Istana Budaya.

“Selain itu, dua projek filem lakonan iaitu Bella & Jamie serta Pulang arahan Kabir Bhatia bakal ditayangkan di pawagam tahun ini,” katanya.

Manakala, drama Mata Cinta lakonannya bergandingan dengan pelakon baru, Julian Buteau juga sudah bersiaran menerusi platform digital bermula 9 Oktober lalu.

Sedia dapat anak

Selepas lapan bulan bergelar isteri, Juliana mengakui sudah mula menyesuaikan diri dengan fasa baru dalam hidupnya ketika ini.

Menurut Juliana, dia juga tidak ada masalah untuk mematuhi protokol pihak istana itu.

“Suami dan keluarga mentua tidak pernah halang untuk saya menjadi diri sendiri. Saya juga sudah lama hidup berdikari sejak dulu. Ia memang berbeza dengan cara saya membesar kerana keluarga saya hanya orang biasa.

“Saya juga perlu mematuhi protokol istana apabila bercakap dengan keluarga mentua di istana. Gelaran Cik Puan juga hanya digunakan pada acara atau majlis rasmi di istana,” katanya.

Pada masa sama, Juliana juga berasa puas kerana merancang majlis resepsi perkahwinannya sendiri sebelum ini.

“Saya buat semuanya sendiri seperti perkahwinan yang diimpikan selama ini. Majlis resepsi ringkas untuk ahli keluarga terdekat dan teman rapat saja,” katanya.

Katanya, dia dan suami juga baru kembali dari bercuti di Australia sekali gus mengeratkan hubungan suami isteri.

“Kami juga bercinta hanya setahun saja sebelum berkahwin. Kini, saya akui tidak sabar hendak balik ke rumah menemani suami selepas selesai bekerja.

“Sebagai isteri, saya juga belajar memasak makanan kegemaran suami sama ada sajian tradisi atau Barat. Mak mentua juga ada beli buku resipi untuk saya di rumah,” katanya.

Ditanya soal anak pula, Juliana berkata, suaminya juga tidak sabar memiliki cahaya mata.

“Jika ada rezeki, kami merancang dapat anak pada hujung tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 8:59am
d