utama

Minat 4 beradik kumpul jam

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Minat mendalam untuk mengumpul jam tangan keluaran Casio, terutama model G-Shock kategori vintaj mendorong empat beradik di Kampung Parit Warijo, Sri Medan di sini, membelanjakan lebih RM40,000 untuk mendapatkan 250 model jam itu.

Mohd Alif Sarjani, 34, berkata, minat untuk mengumpul jam tangan itu berputik sejak kecil ketika berada di Singapura kerana menemani ibunya Rahimah Ahmad, 56, yang menziarah sanak-saudara di Kota Singa.

“Pada mulanya minat mengumpul jam tangan G-Shock vintaj ini hanya saya seorang saja, tetapi saya berkongsi minat dengan adik kedua saya (Nurhidayah, 33).

“Sekitar 1980-an ketika mula dikeluarkan, jam tangan ini sukar didapati di Malaysia dan jika ada pun harganya berbeza (lebih mahal) dengan apa yang saya peroleh di Singapura.

“Oleh sebab itulah sekiranya berkunjung ke republik itu saya akan membelinya. Biasanya dalam setahun ibu akan ke Singapura sekali atau dua kali.

“Bagaimanapun, saya mula mengumpul secara serius dan mendapatkan setiap keluaran jam itu termasuklah keluaran khas bermula 2007 selepas mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.

Menurutnya, kini dua lagi adiknya iaitu Mohamad Fadhil Noor, 29, dan Mohamad Akmal, 24, mula mengikut jejaknya dan Nurhidayah mengumpul jam tangan itu.

Katanya, mereka berempat mempunyai 250 jam tangan itu dalam pelbagai bentuk dan warna dengan harga jam terbabit antara RM200 dan RM2,000.

“Jika dinilaikan anggaran keseluruhan jam tangan yang kami kumpul bersama RM40,000 dan dalam masa sama kami terus mengumpul setiap keluaran jam dihasilkan syarikat dari Jepun ini.

“Manakala jam tangan yang paling jauh pernah kami beli ialah keluaran khas hanya dikeluarkan di Jepun dan Amerika Syarikat yang tidak dikeluarkan atau dijual di negara lain.

“Dulu memang susah tetapi teknologi sedia ada membolehkan kami mendapatkan model vintaj yang tidak pernah diimport ke sini sekali pun.

“Alhamdulillah, sekarang lebih mudah, tetapi perlu sediakan wang mencukupi,” katanya.

Mohd Alif berkata, mereka empat beradik menyertai 47,000 peminat jam tangan itu, melalui kelab dikenali sebagai G-Shock Vintage Malaysia.

“Dalam masa sama kami adik-beradik selalu menyertai pameran dan perjumpaan ahli kelab G-Shock Malaysia yang biasanya diadakan di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi mempamerkan koleksi kami.

“Selain mengumpul, kami memakai jam tangan ini setiap hari...lebih-lebih lagi jam tangan ini lasak dan sesuai dengan kerja kami yang sentiasa berada di kebun serta pusat pemprosesan baja,” katanya yang mengusahakan perniagaan keluarga bersama tiga adiknya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 9:27am
d