utama

Gempar anak lembu tiada hidung [METROTV]

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

PENTERNAK dari Changlun terkejut melihat anak lembu betina yang baru dilahirkan tidak mempunyai hidung dan terdapat ketumbuhan besar di kepalanya, semalam.

Zulkafli Ahmad, 57, berkata, sejak dia menternak lembu 17 tahun lalu, inilah pertama kali perkara aneh yang berlaku pada lembu peliharaannya.

Menurutnya, lembu yang digelar 'Hitam' mula menunjukkan tanda-tanda mahu melahirkan anak, kelmarin.

"Semalam, kira-kira 2 petang, apabila ke kandang, saya lihat perut Hitam sudah kempis dan berusaha mencari anaknya dalam semak berhampiran," kata Zulkafli ketika ditemui di kandang lembunya di belakang Taman Beringin di Changlu, hari ini.

Zulkafli yang bersara dari Angkatan Tentera Malaysia pada 2000 berkata, dia kemudiannya terjumpa anak lembu pelik itu di bawah pokok dan menyangka haiwan itu sudah mati.

"Rupa-rupanya masih hidup dan mampu bertahan sehingga hari ini.

"Saya rasakan hayatnya tidak panjang kerana lembu seberat hampir 30 kilogram ini terpaksa bernafas melalui mulut dan tidak boleh makan atau minum. Saya cuma menuangkan air ke dalam mulutnya," katanya.

Menurutnya dia mengganggap anak lembu itu sebagai anugerah daripada Allah SWT dan akan menjaganya selagi ia hidup.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 3:05pm
d