utama

Sambung semula pencarian MH370

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

MISI pencarian pesawat MH370 disambung semula tengah bulan ini susulan pemeteraian perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity Limited, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Lai berkata, syarikat berkenaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat akan melakukan operasi pencarian membabitkan 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dengan 65 kru termasuk dua daripadanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, operasi berkenaan mengambil masa 90 hari dan ia berdasarkan terma 'tiada penemuan, tiada bayaran'.

"Bayaran jika dijumpai adalah sebanyak RM82 juta iaitu bagi kawasan pencarian 5,000 kilometer persegi manakala, RM122 juta sekiranya ditemui dalam kawasan pencarian 10,000 kilometer persegi seterusnya.

"Kemudian, bayaran RM204 juta bagi kawasan pencarian 10,000 kilometer persegi lagi serta RM285 juta bagi kawasan melebihi 25,000 kilometer persegi," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity di Putrajaya, hari ini.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman manakala, syarikat Ocean Infinity diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Oliver Plunkett.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, misi utama pencarian itu adalah bagi mengenal pasti lokasi bangkai pesawat, serpihan besar serta kotak hitam yang merangkumi perakam suara kokpit dan perakam data pesawat.

Sementara itu, Shin Kok Chau suami kepada penumpang MH370, Tan Ser Kuin ketika ditemui berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terhadap misi pencarian pesawat MH370 dan sedikit sebanyak ia melegakan keluarga.

"Kami berharap pasukan ini akan menemui sesuatu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat MH370 kerana sepanjang empat tahun ini, ahli keluarga menunggu dan menantikan berita," katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac 2014.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 3:56pm
d