utama

Pulanglah, anak cari, masih menyusu badan

Oleh Mazizul Dani

SEORANG wanita yang mengalami tekanan perasaan dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Kenangan, Batu 13, Puchong, Selangor sejak 3 Januari lalu.

Norhidayah Norizam, 23, yang juga ibu kepada anak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Adam Farhan Abdul Malek gagal dikesan dan dipercayai keluar dari rumah yang didiami bersama ibu dan anaknya itu pada 2 petang.

Kakaknya, Norliyana Norizam, 27, ketika dihubungi berkata, mereka sekeluarga bimbang dengan keadaan anak ketiga daripada empat beradik itu kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Masuk hari ini dah lapan hari dia hilang. Kami dah cari di sekitar Selangor dan turut memaklumkan kehilangannya di laman sosial termasuk ganjaran RM500 kepada sesiapa yang menemuinya.

"Anak lelakinya yang masih menyusu badan setiap hari menangis mencari ibunya yang hilang dan kami terpaksa memberi susu formula kepadanya," katanya yang juga anak sulung.

Norliyana berkata, adiknya dipercayai terkena sihir sejak dua tahun lalu dan keluarga hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Darussyifa di Sungai Buloh setahun lalu.

"Adik kadangkala okay, kadangkala tiba-tiba meracau dan menjerit-jerit, tetapi apabila diberi minum air Yassin, dia akan pulih seketika.

"Ketika dia hilang, ibu saya (Norhayati Umar Amin Shukri, 45) tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu van sekolah dan apabila pulang, Norhidayah tiada dan hilang tanpa membawa pakaian atau dokumen pengenalan diri," katanya.

Selepas 24 jam kehilangan, ibunya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis USJ, Subang Jaya.

Norliyana memohon bantuan orang ramai untuk mencari adiknya itu, yang berketinggian 175 sentimeter (cm), kurus, berambut pendek dan keriting dengan menghubunginya ditalian 0192032004 atau menghantarnya ke balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 9:19pm
d