utama

Ini 'sharing is caring' ke?

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BAPA dan anak lelakinya sanggup berkongsi dadah untuk melepaskan gian sebelum mereka ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah.

Dua beranak berusia 48 dan 19 tahun itu antara 18 individu ditahan untuk pemeriksaan dalam serbuan di beberapa kawasan termasuk di Taman Wira, Taman Purnama, Taman Serindit, Titi Haji Idris dan Pokok Sena.

Ketua Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri Nasru'd-din Abdul Rahman berkata, turut ditahan adalah suami isteri dalam operasi bermula pada 12 tengah hari kelmarin hingga 2 pagi semalam.

Katanya, serbuan dilakukan berikutan aduan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kota Setar dan Pokok Sena.

"Daripada jumlah itu, 17 individu adalah lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang juga isteri kepada seorang lelaki tempatan yang ditahan.

"Mereka berusia antara 19 hingga 48 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati 16 daripadanya positif dadah jenis methamphetamin," katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua penagih yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

"Wanita warga Thailand diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tangkapan semula atas kesalahan imigresen.

“AADK serius menangani isu penyalahgunaan dadah dan berharap semua pihak memainkan peranan bermula dari rumah iaitu didikan dan perhatian ibu bapa, didikan guru di sekolah seterusnya pihak penguat kuasaan yang bertanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 10:25am
d