utama

Apa nak kata lagi Aiman...

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Aiman Tino mencatat nama dalam Malaysia Book of Records berikutan kejayaan single pertamanya, Ku Rela Dibenci mendapat lebih 41.3 juta tontonan di YouTube.

Aiman berkata, dia terharu dan terkejut apabila lagu ciptaan ibu bapanya, Yusri dan Riena mendapat jumlah tontonan tertinggi di laman Youtube sehingga layak menerima penghargaan terbabit.

"Saya tak sangka dan terkejut apabila percubaan pertama saya dalam bidang seni suara menerusi lagu Ku Rela Dibenci tersenarai sebagai lagu paling banyak mendapat tontonan.

"Secara peribadi, pengiktirafan ini sangat bermakna dalam kamus hidup saya dan permulaan yang baik bagi tahun 2018," katanya, hari ini.

Pelantun lagu Permata Cinta itu turut memberitahu majlis penyerahan sijil penghargaan atas kejayaan itu akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 16 Januari ini.

Menurut Aiman, kejayaan itu tidak akan berhasil tanpa sokongan padu daripada para peminat yang tidak henti memberikan sokongan terhadap dirinya.

"Saya ingin berterima kasih kepada peminat di seluruh dunia yang menonton muzik video terbabit di YouTube.

"Walaupun awalnya dulu ramai yang mengecam lagu ini, tapi saya tak boleh nafikan mereka turut membantu menaikkan jumlah tontonan," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 4:47pm
d