utama

'Kena ajar anak kira duit' [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

“SEBENARNYA pernah jadi banyak kali semasa dia di tahun satu dan yang saya rakam itu saya saja nak kongsi dengan keluarga sebab macam kelakar, tetapi tak sangka tular."

Demikian kata Laila Mohd Wahab, 30, selepas rakaman soal jawab dia dengan anaknya Norlydia Farisyah Mohd Azizul, 8, mengenai wang belanja sekolah tular di Facebook (FB).

Menerusi video berkenaan, anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu ibunya yang duit baki RM3 di ambil oleh pekerja kantin sekolah dan Farisyah malu hendak memintanya kembali.

"Sebenarnya masa saya muat naik pada 8 Januari lalu, saya tengah marah. Saja nak kongsi sebab kasihan pada anak kerana sudah selalu terjadi.

"Tetapi apabila video berkenaan tular dan membaca komen orang ramai, saya fikir positif saja dan tak mahu memperbesarkan perkara ini," katanya yang juga suri rumah.

Laila berkata, dia memberi duit belanja sekolah RM5 kepada anaknya setiap hari dan pernah memberi RM10 kerana tiada duit kecil.

Farisyah yang juga murid tahun dua, bagaimanapun akan mengadu kepadanya setiap kali dia tidak mendapat duit baki selepas membeli makanan di kantin sekolah.

"Dia akan beritahu saya apa yang dibelinya seperti nasi, roti, hotdog dengan harga setiap satunya, dan jumlah dalam lingkungan RM5, tetapi baki tiada.

"Apapun saya tak bercadang nak panjangkan isu ini, cuma saya sentiasa ingatkan anak untuk menjaga duit elok-elok dan pandai mengira," katanya yang menetap di Taman Mutiara Rini, Skudai.

Laila turut berfikiran positif kemungkinan apa yang berlaku disebabkan pekerja berkenaan sibuk melayan murid sekolah yang ramai dan tidak sengaja terambil duit anaknya.

"Jadi kita sebagai ibu memang kena ajar anak-anak bagaimana untuk menyimpan duit dan mengira serta apa yang berlaku saya dah reda pun," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 10:38pm
d