utama

Enggan bandingkan Jampi dengan lagu seterusnya

Oleh Georgie Joseph

Tahun 2017 sememangnya menjadi detik indah buat penyanyi Hael Husaini apabila mencatat kejayaan cemerlang menerusi lagu Jampi.

Kerjaya muziknya terus mendadak sekali gus mengukuhkan namanya dalam industri muzik.

Lama menunggu peluang berkenaan, penyanyi berusia 30 tahun ini bertuah kerana lagu popularnya itu diterima luar biasa.

Hakikatnya, kekuatan lagu itu sukar disangkal dan dia sendiri mencurahkan sepenuh usaha demi memastikan ia mampu memukau pendengar.

Namun, persoalannya mampukah kejayaan itu diulang untuk lagu seterusnya?

Menurut Hael, dia tidak mahu membandingkan kejayaan Jampi dengan lagunya yang akan datang.

Seperti sebelum ini dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi.

Menurut Hael, Jampi yang diciptanya bersama Ezra Kong adalah sebagai ‘masterpiece’.

“Setiap pemuzik pastinya akan tampil dengan karya yang mampu dikenang sampai bila-bila dan syukur single pertama saya meraih pengiktirafan tersendiri.

“Oleh itu, saya tidak mahu membandingkan lagu akan datang dengan Jampi. Saya mahu pastikan lagu seterusnya akan berjaya tanpa dibayangi kejayaan Jampi walau sedikit pun.

“Jadi, saya tidak mahu bebankan diri memikirkan bagaimana agaknya nasib lagu selepas ini kerana kena terus teguh sebagai pemuzik. Setiap lagu yang dibuat memiliki keistimewaan tersendiri dan perlu berdiri sendiri,” katanya.

Berkongsi mengenai single keduanya, Hael berkata, sudah ada beberapa lagu dirakamkan namun masih dalam proses perbincangan yang mana satu perlu dikeluarkan dulu.

Menurutnya, jika boleh dia sendiri mahu kongsikan saja semuanya tetapi setakat ini single yang terbaik perlu dikedepankan.

“Ikutkan hati, saya memang teruja untuk keluarkan semua lagu. Bagaimanapun, saya bersama pihak pengurusan perlu meneliti secara keseluruhan mana satu lagu paling sesuai dilancarkan dulu.

“Bagaimanapun, saya percaya lagu seterusnya akan lebih baik memandangkan itulah yang saya tekankan sebagai seorang pemuzik. Saya yakin dengan kesungguhan yang tinggi, pasti memberikan keadilan kepada karya dihasilkan.

“Ikut perancangan, saya bakal lancarkan lagu baru bulan depan,” katanya.

Pencapaian tertinggi dalam karier

Hael menyifatkan kejayaan Jampi dipilih sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Penstriman sepanjang 2017 di semua aplikasi penstriman rahmat terindah buatnya.

Menerusi data dikeluarkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Isnin lalu, Jampi menduduki kedudukan tertinggi sepanjang tahun lalu dengan jumlah 13,879,144 kali didengar.

Hael berkata, dia tidak menyangka pencapaian itu walaupun tahu Jampi sememangnya menerima sambutan luar biasa dan di luar jangkaan.

“Bagi saya, kekuatan lagu ini sebenarnya terletak kepada permintaan ramai. Syukur peminat tidak henti-henti mainkan lagu ini di semua platform. Namun tidak sangka ia berada di kedudukan pertama paling banyak didengar.

“Saya bersama Ezra dan semua yang terbabit dalam pembikinan lagu itu memang mencurahkan segala kudrat demi memastinya ia menjadi. Alhamdulillah, ia melangkaui segala apa yang kami impikan.

“Pencapaian ini adalah yang tertinggi dalam kerjaya saya dan semestinya akan terus menyasarkan lebih daripada itu pada masa hadapan. Tahun 2017 sememangnya meninggalkan kenangan yang begitu indah buat saya,” katanya.

Lagu terbitan Rocketfuel Entertainment dan Warner Music Malaysia itu juga diumum sebagai Lagu Domestik Paling Bernilai yang dikira berdasarkan langganan berbayar dan sokongan iklan.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 3:37am
d