utama

Temui sinar

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya rasa tenang sebaik diberi penerangan dan panduan oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNWPKL) untuk memperoleh dokumen pengenalan diri.

“Bagaimanapun, masih banyak prosedur perlu saya lakukan dan saya mohon semuanya dipermudahkan agensi berkaitan,” kata gadis tanpa identiti yang dikenali sebagai Ain yang berusia 20-an.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah berputus asa untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri berikutan beberapa usahanya menemui jalan buntu berikutan dia gagal mengemukakan dokumen pembuktian menyokong dia dilahirkan di negara ini.

Harian Metro yang mengaturkan pertemuan Ain dengan Timbalan Pengarah JPNWPKL Norma Aizan Che Man dibantu beberapa pegawainya termasuk dari Bahagian Siasatan di Rumah Titian Kaseh (RTK) Titiwangsa, semalam, untuk mendapat gambaran sebenar permasalahan yang berlaku terhadap Ain.

Ain berkata, minggu depan dia akan menghantar borang kepada pegawai penyiasat JPN di Jalan Duta sebagai langkah pertama untuk mendapatkan dokumen.

“Hati saya sedikit tenang hari ini (semalam) kerana saya nampak jalan sudah ada di depan mata, namun saya akui sebelum ini silap saya kerana mengambil borang tetapi tidak tahu mana ruangan untuk diisi.

“Saya sudah mempunyai penganjur dan saksi yang mengenali diri saya ketika berusia bawah 18 tahun,” katanya.

Katanya, walaupun belum memperoleh dokumen itu, dia sudah berasa lega dan boleh jadi seperti orang lain.

“Jika boleh saya nak kerja lebih bagus, ada angan-angan nak masuk GiatMara, berumah tangga, membuka buku bank dan membuat pemeriksaan kesihatan percuma.

“Namun apa yang penting, saya mahu mendaftar diri dalam Khairat Kematian dan mati dengan mempunyai identiti diri, doakan semoga urusan saya dipermudahkan Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya menghantar pegawai dari JPNWPKL untuk meneliti isu berkenaan dan cuba membantu Ain sebaik mungkin.

Katanya, jika mana-mana warganegara mengikut prosedur ditetapkan dan memenuhi syarat, pihaknya tiada masalah untuk memproses aduan berdasarkan kes.

“Menjadi tanggungjawab jabatan untuk memastikan semua aduan disemak dan diteliti sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Ada jalan penyelesaiannya, mana-mana kes boleh diadukan di JPN berdekatan atau di ibu pejabat di Putrajaya. Kita akan membantu asalkan ada dokumen sokongan dan mematuhi prosedur sedia ada,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah gadis berkenaan yang belum mempunyai dokumen pengenalan diri atau diiktiraf sebagai rakyat daripada mana-mana negara walaupun sudah berusia 23 tahun.

Berita berkaitan

JPN mahu cari dalang

Belenggu identiti

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:53am
d